Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Setiap sukarelawan perlu berada pada landasan yang betul dan memupuk nilai integriti serta tanggungjawab ketika melaksanakan misi bantuan,” itu kata Pengasas Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin.
Beliau berkata, kerja kemanusiaan sudah semestinya berdepan pelbagai cabaran dan ancaman, justeru pengukuhan motivasi dan kefahaman nilai kesukarelawan amat diperlukan.

“Program Perhimpunan Bulanan Sukarelawan ThirdForce 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat sukarelawan.
“Sepatutnya lebih ramai yang ingin hadir pada program ini, tetapi terkandas dengan banjir dan kita dapati lebih 100 sukarelawan seluruh negara sahaja yang hadir, walaubagaimanapun itu tidak menjejaskan operasi bantuan kemanusiaan antara kami” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Perhimpunan Bulanan Sukarelawan ThirdForce 2025, di sini, pada Sabtu.
Raja Shamri berkata, beliau mempunyai lebih 500 sukarelawan ThirdForce yang aktif di seluruh negara.
Jelasnya, sebagai sukarelawan, mereka tidak seharusnya meletakkan diri sebagai pihak lebih tinggi daripada asnaf atau penerima bantuan, sebaliknya menjadikan setiap misi sebagai peluang mengumpul pahala dan menyebarkan kebaikan secara bersama tanpa wujud sebarang persaingan.
“Di Kelantan, kita sudah beroperasi selama 10 tahun dan sentiasa membantu mangsa banjir, kita juga mendapat kerjasama strategik dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan.
“Sukarelawan kita turut menerima latihan termasuk pengendalian bot dan teknik menyelamat daripada anggota APM bagi memastikan kesiapsiagaan ketika bencana,” katanya.
Mengulas lanjut, Raja Shamri berkata terdapat satu aplikasi yang menjadi sistem pelaporan sumbangan yang sudah dilancarkan untuk memudahkan penyelarasan bantuan dan mengelakkan pembaziran sumber.
“Sukarelawan kita hanya perlu kemaskini lokasi dan barangan keperluan apa yang sudah disalurkan di kawasan berkenaan supaya, sukarelawan lain maklum, dan tidak akan ada berlaku lambakan atau pembaziran barangan di lapangan sama,” katanya.
Tambah beliau, bagi mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan ThirdForce boleh menerusi portal rasmi https://www.yayasanrajashamri.org/.
IMedikel TV






