LONDON: Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Lando Norris mungkin terguris jika diberikan ejekan di podium, tetapi kini peneraju gelaran McLaren itu berada dalam zon sendiri dan sama sekali tidak terganggu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Zak Brown.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, rakan sepasukan dari Australia, Oscar Piastri, yang ketinggalan 24 mata di belakang pelumba Britain itu dengan baki tiga pusingan sebelum Grand Prix Las Vegas, hujung minggu ini, turut fokus dan bersedia untuk berjuang bagi gelaran juara.
“Oscar memang sedang bertarung semula,” kata Brown kepada Reuters.
“Saya rasa salah satu kekuatannya yang terbesar ialah dia terus masuk dalam zon. Saya tidak pernah melihat Lando berada dalam keadaan yang lebih baik.
“Ejekan itu mungkin mengganggunya dahulu, tetapi dia menyedari itu mungkin ejekan terhadap saya dan bagaimana kami mengendalikannya (persaingan antara rakan sepasukan). Jadi dia berada dalam keadaan yang hebat. Ia tidak mengganggunya.
“Bahagian terbaik adalah adakah ia benar?” tambah warga Amerika Syarikat (AS)itu, yang menghabiskan hujung minggu bersama kedua-dua pemandu itu bermain golf di kawasan Teluk San Francisco.
“Kadang-kadang anda boleh kata ‘jangan biarkan perkara itu mengganggu anda’ tetapi anda boleh lihat ia tetap mengganggu. Dia (Norris) berada dalam keadaan baik, dia melakukan perkara sendiri. Dia benar-benar fokus dalam zon sendiri, tetapi mereka berdua santai. Mereka tidak berpura-pura. Mereka tenang.”
Norris memenangi dua perlumbaan terakhir di Mexico dan Brazil serta mengalahkan Piastri dalam enam perlumbaan terakhir, tetapi menghadapi ejekan daripada penonton apabila melangkah ke podium.
Terdapat beberapa teori mengapa peminat kepada pemandu Mexico, Sergio Perez, yang kononnya masih tidak berpuas hati dengan beberapa komen Norris tahun lalu atau mereka yang melihat McLaren memihak kepada pelumba Britain itu berbanding Piastri.
Brown turut menjangka terdapat unsur penyokong kepada mereka yang kini dianggap underdog iaitu juara dunia empat kali berturut-turut dari Red Bull, Max Verstappen serta Lewis Hamilton dan Charles Leclerc dari Ferrari.
“Saya rasa itu memang sifat dunia ini,” kata bos itu apabila buku pertamanya ‘Seven Tenths of a Second’ yang memaparkan autobiografi dengan banyak nasihat perniagaan, diterbitkan minggu ini.
“Saya mendapat lebih banyak kebencian di media sosial hari ini setelah memenangi dua gelaran pengeluar dan dengan tempat pertama dan kedua dalam kejohanan berbanding ketika kami di tempat ke-17 dan ke-18.
“Anda hanya perlu belajar ia sebenarnya kumpulan kecil pejuang papan kekunci. Jadi kami hanya tetap pada prinsip perlumbaan kami.”
Hujung minggu ini, pertempuran gelaran mungkin hanya tinggal antara dua pelumba McLaren itu jika jurang antara Verstappen dan Norris meningkat dari 49 mata ketika ini kepada 58 mata.
Itu bermakna McLaren, yang sudah memenangi gelaran pengeluar pasti mengambil kedua-dua gelaran dalam musim sama buat pertama kali dalam abad ini.
Brown berkata fikirannya seperti biasa, lebih fokus kepada apa yang boleh salah sama seperti apa yang mungkin berjalan lancar.
“Minda saya bukan ‘Max mungkin sudah tiada dalam persaingan’,” jelasnya.
“Minda saya lebih kepada ‘jika kami tidak mempunyai hujung minggu yang kuat, Max akan kembali dalam perlumbaan’.
“Saya ingin berada dalam keadaan apabila selepas perlumbaan ini, saya tahu sebuah kereta oren McLaren akan menjadi juara pemandu.” – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






