Home Sukan WOLTEMADE IDAM TEMPAT DALAM KESEBELASAN JERMAN DI PIALA DUNIA

WOLTEMADE IDAM TEMPAT DALAM KESEBELASAN JERMAN DI PIALA DUNIA

LEIPZIG, Jerman: Nick Woltemade berharap prestasinya sudah cukup untuk menempah tempat ke Piala Dunia 2026 selepas sekali lagi menjaringkan gol ketika Jerman membelasah Slovakia 6-0 di Leipzig, awal pagi tadi.

“Kami lega. Ini satu detik hebat,” kata Woltemade. “Saya bermain, saya menjaringkan gol dan harap dapat bermain di Piala Dunia.”

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, penyerang Newcastle itu membuka jaringan awal pagi tadi dengan Leroy Sane menjaringkan dua gol manakala Serge Gnabry, Ridle Baku dan Assan Ouedraogo turut menemui sasaran.

Woltemade, 23, telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhirnya bersama Jerman, termasuk gol kemenangan menentang Ireland Utara dan Luxembourg.

Ketika duduk di bangku simpanan bersama Werder Bremen 18 bulan lalu, Woltemade membuat penampilan sulung antarabangsa pada Jun.

Dengan Jerman kehilangan beberapa penyerang termasuk Kai Havertz, Jamal Musiala, Tim Kleindienst dan Niclas Fuellkrug, Woltemade menjadikan dirinya pemain penting untuk jurulatih Julian Nagelsmann.

“Sukar untuk saya jelaskan, tetapi sentiasa hebat dapat bermain untuk Jerman,” katanya kepada ZDF.

“Saya melalui semua pasukan belia, dan kini saya bersama pasukan senior.”

Aksi terbarunya ini satu lagi bab dalam peningkatan mendadaknya.

Penyerang setinggi 1.98 meter itu berpindah dari Stuttgart ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle, pada musim panas lalu dengan yuran dilaporkan sebanyak 75 juta euro (RM360 juta).

“Bagi ramai daripada kami, ini akan menjadi Piala Dunia pertama,” kata Nagelsmann kepada pemberita. “Bagi saya juga ini yang pertama. Ia satu kejohanan sangat bermakna dalam bola sepak dan saya tidak sabar menantikannya.”

Kapten Jerman Joshua Kimmich, yang bermain dalam dua Piala Dunia, memberitahu ZDF: “Setiap orang mahu menghantar mesej hari ini, semua tahu apa yang dipertaruhkan, kelayakan ke Piala Dunia!

“Saya beritahu rakan-rakan bahawa Piala Dunia adalah pencapaian terbesar untuk seorang pemain dalam kerjaya.” – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here