MOSCOW: Seorang lelaki di Tyumen, Rusia, menukar sepenuhnya nama akhir, nama pertama dan nama tengah tradisional Rusia atau patronimik sekali setiap tahun, bagi mengelak tanggungjawab membayar nafkah anak.
Memetik Oddity Central, perkara itu didedahkan oleh ketua perkhidmatan juru sita yang mengurus kutipan bayaran nafkah anak di kawasan itu, Roman Korenev, dalam satu temu bual dengan media Rusia 72.RU.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, difahamkan, setahun kemudian, lelaki itu akan kembali menggunakan nama lamanya, sebelum mengulangi proses sama.
“Usaha lelaki itu bertujuan untuk mengelak juru sita dan menetapkan hutang kepada sifar,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, tidak jelas berapa lama dia berjaya menyembunyikan diri kerana akhirnya usahanya sia-sia.
Korenev berkata, apabila nama seseorang berubah, pejabat pendaftaran akan melaporkan maklumat itu kepada juru sita, menjadikan helah sebegitu tidak berkesan.
Terdapat juga kes yang mana seorang lelaki yang berpura-pura mati untuk mengelak membayar nafkah anak atau lelaki yang memalsukan ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) supaya dia boleh mengelak daripada menyara anaknya secara kewangan.
Sementara itu, juru sita Tyumen memberitahu, wartawan bahawa penduduk tempatan kerap menggunakan helah tidak masuk akal untuk mengelak membayar hutang.
Jelasnya, seorang lelaki mendakwa menghidap agorafobia untuk menghalang juru sita memasuki rumahnya.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa mendapati lelaki itu memiliki dua apartmen dan salah satu apartmennya sedang dikenakan proses sita. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






