MANILA: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao mengesahkan rundingan sedang berlangsung bagi pertarungan semula menentang seteru lamanya, Floyd Mayweather sedekad selepas pertemuan bersejarah mereka pada 2015.
Gergasi penstriman Netflix kini menerajui rundingan untuk menjayakan semula pertarungan mega itu, yang dijangka berlangsung di Las Vegas tahun depan.
Pacquiao mendedahkan perbincangan sedang berjalan dan mencabar Mayweather supaya kembali ke gelanggang.
“Selagi Floyd mahu kembali, saya bersedia. Saya masih aktif bertinju, jadi ia sesuatu yang mungkin berlaku,” katanya kepada SunSport di Manila.
“Memang ada perbincangan. Saya gembira dapat berbincang mengenai kemungkinan pertarungan semula dengan Floyd. Saya percaya peluang itu ada jika dia sedia kembali.”
Mayweather menewaskan Pacquiao menerusi kiraan mata pada 2015, pertarungan yang memecah semua rekod hasil jualan melebihi £500 juta (RM2.74 bilion) dan 4.4 juta siaran bayar setiap tontonan (PPV) di Amerika Syarikat.
Namun walaupun meraih keuntungan luar biasa, perlawanan ulangan gagal menjadi kenyataan selama bertahun-tahun.
Pacquiao mendakwa dia bergelut dengan kecederaan bahu kanan sebelum pertarungan itu dan tidak dibenarkan mengambil suntikan anti radang.
“Selepas pembedahan, saya pulih dan terus mahu kembali ke gelanggang. Syukur, Tuhan beri saya kekuatan dan kesihatan untuk teruskan karier ini,” katanya.
Mayweather pula bersara dua tahun kemudian selepas menewaskan bintang UFC, Conor McGregor sebelum menutup karier profesionalnya dengan rekod sempurna 50-0.
Namun ikon Amerika Syarikat itu kekal aktif menerusi siri pertarungan pertunjukan menentang bintang tinju, MMA dan personaliti media sosial, termasuk aksi terakhirnya Ogos lalu menentang cucu bekas ketua mafia terkenal, John Gotti.
Pacquiao, juara dunia dalam lapan divisyen, kembali ke gelanggang Julai lalu selepas empat tahun berehat dan mencatat keputusan seri kontroversi menentang Mario Barrios dalam perebutan tali pinggang WBC.
Kini dengan peluang pertarungan semula semakin terbuka, Pacquiao memberi amaran: “Saya tetap seorang pejuang. Saya tidak lari daripada sesiapa. Saya boleh lawan sesiapa saja.”
Netflix dijangka menanggung kos besar bagi pertarungan ini selepas kejayaan siaran Jake Paul menewaskan Mike Tyson yang menarik lebih 100 juta penonton tahun lalu.
Pacquiao turut dilantik sebagai Naib Presiden IBA Pro, badan yang kini beralih ke arena profesional, sambil mempromosikan “Thrilla in Manila 2” yang akan menampilkan cucu Muhammad Ali, Nico Ali Walsh. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






