KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro, bimbang dengan kes buli di sekolah yang kian berleluasa, pelakon Dynas Mokhtar, 42, membatalkan hasrat menghantar anak sulungnya Khyra Khalyssa, 15, ke sekolah asrama di Melaka tahun depan.
Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, awalnya dia cukup teruja apabila Khyra sendiri meluahkan hasrat dan bersungguh mahu masuk ke sekolah berasrama.
“Mula-mula, saya sangat kagum apabila dia sendiri memutuskan nak masuk dan duduk asrama pada usia 16 tahun. Dia siap cetak sendiri semua dokumen dan cuma minta kami tandatangan serta beri persetujuan.
“Tapi saya cakap padanya untuk tak payah masuk asrama dulu kerana dia pun ada perancangan sambung belajar ke luar negara. Saya cakap lebih baik simpan duit untuk masa depan selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
“Dia dah patut pergi tahun depan, tapi saya cakap ‘cancel’. Dia pun sendiri macam reda dengan ketentuan ibu bapanya. Namun sekurang-kurangnya, kami boleh pantau lagi rapatlah,” katanya.
Dynas percaya pemantauan lebih dekat terhadap anak-anak adalah pendekatan terpenting sekarang. Apatah lagi pelbagai kes ‘menakutkan’ berlaku di sekolah kebelakangan ini.
Justeru, pelakon drama Mertua Dari Neraka itu berusaha meluangkan masa berkualiti bersama empat anaknya meskipun sibuk bekerja. Sesi itu padanya sangat membantu menyelami hati mereka.
“Saya kena rapatkan diri dengan mereka walau sesibuk mana pun. Ini bukan pasal selama mana kita luangkan masa dengan mereka tapi masa diluangkan itu perlu berkualiti.
“Walaupun saya dapat berkomunikasi atau luang masa sejam saja dengan mereka pun memadai. Saya beri perhatian sepenuhnya kerana satu jam itu boleh bersamaan dengan seminggu jika jumpa hari-hari pun.
“Apa yang kami lakukan adalah berkomunikasi, bertanya apa yang berlaku di sekolah. Saya cuba menjadi lebih kepada sahabat mereka berbanding sebagai ibu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dynas bakal membintangi Dorm 403 arahan Raja Mukhriz yang turut menampilkan Noki, Zairi Aziz, Muaz Zabir, Nik Rifaie, Gbril, Evertts Gomes, dan Puteri Aleeya untuk slot Lestary di TV3.
Drama berkenaan bakal menyingkap realiti hitam di sebalik dunia pelajar asrama mengenai cinta, dendam, pengkhianatan dan rahsia yang meragut nyawa. – HMetro Online –
IMedikel TV






