ISTANBUL: Turkiye pada Jumaat mengumumkan sudah mengeluarkan waran tangkap atas tuduhan genosid terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan kerajaannya berhubung perang di Gaza.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pengumuman itu menerima sanggahan keras daripada Israel.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata, Israel “menolak sekeras-kerasnya” tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai “aksi publisiti murahan terbaharu oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.”
Pejabat pendakwa raya Istanbul dalam satu kenyataan menyatakan bahawa 37 suspek disasarkan oleh waran tangkap itu tanpa mendedahkan senarai penuh.
Mereka termasuk Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz; Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir dan ketua turus tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.
Turkiye menuduh pegawai terbabit melakukan “genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan” yang Israel “lakukan secara sistematik” di Gaza.
Kenyataan itu turut merujuk kepada “Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin” yang dibina oleh Turkiye di Semenanjung Gaza dan dibom oleh Israel pada Mac.
Turkiye antara pengkritik paling lantang terhadap perang di Gaza, tahun lalu menyertai kes Afrika Selatan menuduh Israel melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Satu gencatan senjata yang rapuh dikuatkuasakan di wilayah Palestin yang musnah itu sejak 10 Oktober lalu sebagai sebahagian daripada pelan damai serantau Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kumpulan Hamas mengalu-alukan pengumuman Turkiye menyifatkannya sebagai “langkah terpuji yang mengesahkan pendirian ikhlas rakyat Turkiye dan pemimpin mereka yang komited terhadap nilai keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan yang mengikat mereka dengan rakyat Palestin kami yang tertindas.”
Bekas Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menulis di X bahawa waran tangkap itu “jelas menerangkan mengapa Turkiye tidak sepatutnya berada di Semenanjung Gaza secara langsung atau tidak langsung.”
Turkiye mahu mengambil bahagian dalam pasukan penstabilan antarabangsa pascaperang di Gaza, namun usaha itu tidak disenangi Israel yang menganggap Turkiye terlalu rapat dengan Hamas dan berulang kali menentang penyertaan Ankara. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






