Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ketika ramai rakan seusianya memilih berehat di rumah, seorang warga emas masih setia menjalani rutin yang sama setiap pagi iaitu menyuap rezeki buat ratusan burung yang menantinya di kawasan berhampiran Masjid Muhammadi, di sini.
Dengan langkah perlahan dan senyum yang tidak lekang dibibir, Faridah Che Mohd Daud atau mesra disapa nenek Faridah, 89 tahun, berasal dari Kampung Kubang Pasu, di sini, keluar dari rumahnya seawal jam 7.30 pagi sambil membawa bekas berisi butiran jagung dan makanan, istimewa untuk kawanan burung yang saban hari menantikan kehadirannya.

Faridah berkata, dia mula minat memberi makan kepada haiwan jalanan sejak dari kecil sehingga kini dan sudah menjadi satu kewajipan bagi dirinya.
Katanya, bukan sahaja burung, tetapi haiwan jalanan lain seperti anjing, kucing, monyet dan lain-lain turut menerima layanan sama.
“Ini adalah anugerah Allah. Haiwan ini dijadikan untuk kita jaganya, sama seperti zaman Rasulullah, merpati pernah membantu baginda di Gua Hira’.
“Jadi kalau kita tidak bagi makan, siapa lagi hendak bagi? Dahulu ada juga rumput belalang bukan seperti sekarang, jadi bagi saya, kalau nak bersedekah, ini lah peluang kita yang boleh dijadikan saham akhirat” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di kawasan berhampiran Masjid Muhammadi, di sini, hari ini.
Bagi Faridah, dia turut menzahirkan rasa kasih sayangnya terhadap burung apabila sering memanggilnya dengan panggilan lembut ‘sayang’ dan memerhati gelagatnya setiap hari, seolah-olah menjaga anak sendiri.
Menariknya, setiap pagi antara jam 7.30 hingga 9.00 pagi, Faridah akan memandu kereta Wira seorang diri ke beberapa lokasi tumpuan haiwan jalanan seperti Pantai Irama Bachok, Pantai Sabak, stesen bas dan pasar-pasar sekitar Kota Bharu.
“Aktiviti ini juga salah satu senaman untuk saya, sekarang sudah tua dan tidak boleh hendak berlari jadi kita senaman macam ni.
“Saya juga seolah-olah nampak seperti merpati ini sedang mendoakan untuk kita semua supaya selalu sihat, panjang umur, murah rezeki, malah bukan sahaja merpati, semut juga sama, sentiasa berzikir dan kita dapat tengok zaman Rasulullah dulu, silaturrahimnya tidak putus sentiasa bergotong-royong.
Menariknya lagi, ada antara haiwan berkenaan yang mengekori keretanya hingga ke rumah ketika pulang.

“Kadang-kadang ada burung yang ikut kereta saya sampai rumah. Kalau mereka terbang tinggi pun, bila nampak nenek datang, dia akan turun semula,”ceritanya sambil ketawa kecil.
“Setiap hari, hampir 15 bungkus makanan kucing dan 10 kilogram jagung akan habis diberikan kepada haiwan-haiwan ini. Bagi saya, itu bukan beban sebaliknya satu kepuasan yang sukar digambarkan.
Meskipun sudah hampir satu abad usianya, namun Faridah masih bertenaga dan ceria menjalankan rutin memberi makan kepada burung dan haiwan jalanan.
Katanya, itu antara rahsia kesihatannya hingga kini.
Dalam pada itu, dia berkata aktiviti itu bukan sekadar rutin harian, tetapi diharap dapat menjadi tarikan istimewa di Kelantan.
IMedikel TV






