KUALA LUMPUR: Tiga legenda seni tanah air iaitu Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Amy Search menerima pengiktirafan tertinggi pada acara The Knights Awards Musim Ke-4: Beyond Borders yang berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS, di sini, kelmarin.
Memetik laporan menerusi Berita Harian Majlis berprestij itu menyaksikan Yusof menerima Anugerah Penerbit Sepanjang Zaman (Malaysia) ; Rosyam diberi penghormatan sebagai Pelakon Paling Diraikan Sepanjang Zaman (Malaysia); manakala Amy pula dinobatkan Ikon Rock Sepanjang Zaman (Malaysia) atas sumbangan besar terhadap industri muzik tempatan.
Mengulas kejayaan itu, Rosyam meluahkan rasa syukur dan terharu apabila lebih empat dekad perjuangannya dalam dunia lakonan akhirnya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Saya sudah 41 tahun dalam industri lakonan. Bila diberi penghormatan pada malam ini, saya sangat terharu kerana bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, tetapi juga oleh lebih 122 negara,” katanya.
Pelakon berusia 58 tahun itu berharap anugerah berprestij itu menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya dan menjadi inspirasi buat generasi baharu dalam dunia seni.
Sementara itu, Presiden The Knights Award, Dr Zyro Wong, berkata pihaknya berbangga apabila penganjuran kali ini berjaya mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia dengan menghimpunkan peserta dan penggiat industri dari pelbagai negara.
“Kami amat berbesar hati kerana penganjuran tahun ini berjaya menarik penyertaan dari pelbagai benua, termasuk Brazil, Kanada dan Mesir, selain kerjasama erat bersama Commonwealth Youth Innovation Hub yang merangkumi 56 negara di bawah Komanwel,” katanya.
Tambah beliau, interaksi dengan peserta dari pelbagai budaya dan bahasa turut menjadi pengalaman berharga.
“Ramai antara mereka ialah tokoh berpengaruh dalam bidang masing-masing. Walaupun berdepan cabaran bahasa, semangat untuk berhubung dan bekerjasama melangkaui sempadan itu membuatkan saya berasa bangga sebagai penganjur dan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Tahun ini, The Knights Award mengiktiraf 36 tokoh dan organisasi cemerlang dari pelbagai bidang melalui tiga kategori utama iaitu Duke, Earl dan Baron yang meraikan kepimpinan, inovasi dan sumbangan luar biasa dalam industri masing-masing.
Penganjuran berprestij itu terus menjadi mercu tanda kecemerlangan dan pemerkasaan global, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia sebagai hab keusahawanan dan inovasi antarabangsa, selaras dengan slogan “Bond, Build & Bloom.” – BH Online –
IMedikel TV






