Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar warden asrama di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dilantik secara sepenuh masa memandangkan perlakuan buli tidak berlaku sebelum jam 12 malam.
Beliau berkata demikian susulan aduan daripada guru-guru MRSM yang perlu memantau asrama hingga lewat malam serta perlu menyambung kelas seawal jam 7 pagi keesokannya.
“Walaubagaimanapun adalah terlalu pra-matang untuk saya mengulas keberkesanan perlantikan warden dalam kalangan bekas tentera atau pasukan beruniform lain dalam menangani kes buli.
“Saya tidak pernah mengatakan bahawa pendekatan memilih bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama itu terbaik, cuma MARA melihat ada keperluan mendesak untuk mewujudkan warden sepenuh masa bagi menangani isu buli yang makin menjadi-jadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau memaklumkan, antara alasan yang diberikan guru MRSM adalah buli lazimnya tidak berlaku sebelum jam 12 tengah malam dan waktu akademik.
“Sekiranya tiada warden yang memantau pada waktu berisiko, ia seakan membuka ruang untuk berlakunya kes berkenaan,” katanya.
Selain itu, katanya mereka turut meluahkan rasa bahawa elaun RM300 kepada guru sebagai tambahan menjadi warden juga tidak berbaloi dengan tanggungjawab tambahan yang perlu digalas.
Malah, mereka berkata lebih berkesan sekiranya warden bertugas sepenuh masa di asrama dilantik bagi memperkuat disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik.
Bagaimanapun, pihaknya kini menunggu laporan penilaian daripada pasukan penyelidik berhubung pelaksanaan program rintis dan inisiatif MARA yang dijalankan selama enam bulan itu.
“InsyaAllah saya akan kongsikan dapatan kajian sama ada positif mahupun negatif, untuk diangkat kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab ke atas MARA untuk membuat keputusan sekaligus berkongsi dapatan ini dengan Jemaah Menteri,”jelasnya.
IMedikel TV






