Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Laungan solidariti “Selamatkan Palestin” bergema di sepanjang Sungai Kelantan apabila 790 bot menyertai Pelayaran Solidariti Kelantan Gaza, hari ini.
Acara yang bermula sekitar jam 4.30 petang itu menarik ribuan pengunjung dari pelosok negeri Che Siti Wan Kembang yang hadir bagi menyaksikan perarakan bersejarah tersebut di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini.
Penganjur program itu, Mohd. Khairul Hafiz Hassan, berkata perarakan sejauh kira-kira tujuh kilometer itu bermula dari Jeti Pulai Pisang dan berakhir di Lembah Sireh, dengan bot-bot peserta menghiasi sungai sambil mengibarkan bendera Kelantan dan Palestin.

“Pelayaran ini diadakan simbolik sokongan rakyat Kelantan terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang terus ditindas rejim Zionis.
“Saya menghimpunkan peserta yang terdiri daripada golongan nelayan, penduduk kampung serta keluarga mereka berumur antara 18 hingga 55 tahun,”katanya.
Mohd Khairul Hafiz berkata para peserta yang menyertai pelayaran itu melaungkan ‘Selamatkan Palestin’ dan turut berdoa untuk saudara di Gaza sepanjang pelayaran tersebut.
Tinjauan kru IMedikel TV di Lembah Sireh mendapati ribuan pengunjung hadir bagi menyaksikan pelayaran bot tersebut dan sanggup berpanas bagi menyaksikan detik bersejarah itu.
IMedikel TV






