Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengeluarkan sebanyak 124,700 notis saman sepanjang pelaksanaan Ops Khas Gempur Perdagangan yang bermula 1 September lalu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata sehingga 29 September lalu, sebanyak 544,403 kenderaan diperiksa, manakala 50,629 kenderaan diambil tindakan termasuk 1,060 buah kenderaan disita.
“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“Operasi tersebut memberi tumpuan menyeluruh terhadap pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan bagi melindungi pengguana, mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, memastikan keselamatan, kelancanran dan integriti sistem pengangkutan negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Katanya, operasi itu dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 September hingga 31 Disember tahun ini.
Mengulas lanjut, JPJ sentiasa komited melaksanakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
Justeru, orang ramai diseru untuk melaporkan aduan berkaitan kesalahan yang melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau real time menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan.
IMedikel TV






