Home Sukan BARCELONA UJIAN BESAR PERTAMA PSG

BARCELONA UJIAN BESAR PERTAMA PSG

BARCELONA: Paris Saint-Germain yang dilanda krisis kecederaan berdepan ujian besar pertama – menentang Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu ini.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian skuad kendalian Luis Enrique kehilangan beberapa tonggak utama, antaranya Ousmane Dembele, pemenang Ballon d’Or 2024-25 selepas meledak 35 gol musim lalu.

Pemain sayap Perancis berusia 28 tahun itu sepatutnya berdepan bekas kelabnya, namun masih belum pulih daripada kecederaan paha yang dialami bersama skuad kebangsaan Perancis.

Selain Dembele, PSG turut kehilangan Desire Doue, kapten Marquinhos serta Joao Neves, manakala Vitinha dan Khvicha Kvaratskhelia ditimpa masalah kecergasan hujung minggu lalu. Situasi itu menyaksikan pilihan Enrique semakin terhad ketika berdepan Barcelona di Montjuic.

“Paris Saint-Germain bukan satu-satunya pasukan yang berdepan kecederaan. Setiap pasukan melalui jadual padat. Kami perlu kekal positif,” kata Enrique selepas kemenangan 2-0 ke atas Auxerre.

Musim lalu, PSG bermain 65 perlawanan termasuk 17 aksi Liga Juara-Juara dan tujuh di Piala Dunia Kelab, sebelum tewas 3-0 kepada Chelsea pada kempen yang berakhir Julai.

Beban perlawanan itu kini menjejaskan kecergasan tonggak mereka, dengan Hakimi misalnya sudah beraksi 131 perlawanan untuk kelab dan negara sejak tahun 2023.

Walaupun dibelenggu krisis, PSG tetap berkunjung ke Catalunya dengan keyakinan selepas membelasah Atalanta 4-0 pada aksi pembukaan Eropah dua minggu lalu. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here