Home Luar Negara BANGUNAN SEKOLAH AGAMA RUNTUH, SEORANG MAUT, PULUHAN CEDERA

BANGUNAN SEKOLAH AGAMA RUNTUH, SEORANG MAUT, PULUHAN CEDERA

SIDOARJO, INDONESIA: Sekurang-kurangnya seorang maut, manakala puluhan lagi cedera semalam selepas sebuah bangunan sekolah agama runtuh di Pulau Jawa, kata seorang pegawai polis.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro lebih 100 pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar apabila bangunan bertingkat itu runtuh secara tiba-tiba, lapor agensi berita Antara yang memetik seorang saksi.

Jurucakap polis Jawa Timur, Jules Abraham Abast, memberitahu pemberita bahawa pasukan penyelamat memindahkan sekurang-kurangnya 79 mangsa dalam kejadian di sekolah pondok Al Khoziny di sini.

Katanya, sekurang-kurangnya seorang mangsa disahkan meninggal dunia berikutan insiden itu, memetik maklumat daripada sebuah hospital, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Pihak berkuasa berusaha untuk mengenal pasti jumlah mangsa yang masih berada di lokasi kejadian.

“Kami bersama pihak berkepentingan lain berkomunikasi secara aktif dengan pihak berkaitan termasuk sekolah pondok itu bagi menentukan jumlah sebenar mangsa yang masih atau mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan,” kata Jules.

Salah seorang pemimpin sekolah pondok itu, Abdus Salam Mujib berkata, bangunan berkenaan runtuh selepas pekerja menuang konkrit untuk pembinaan tingkat tiga.

“Bangunan itu hanya mempunyai tiga tingkat. Rancangan asalnya adalah untuk membina empat tingkat dengan bumbung rata,” katanya kepada pemberita.

“Tingkat atas bangunan dirancang untuk digunakan sebagai bilik darjah dan aktiviti pelajar, manakala tingkat bawah sudah digunakan sebagai surau.”

Standard pembinaan yang longgar menimbulkan kebimbangan meluas mengenai keselamatan bangunan di Indonesia.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas sebuah bangunan yang menjadi lokasi majlis bacaan doa runtuh di Jawa Barat.

Sementara itu, pada 2018, sekumpulan remaja yang sedang berlatih untuk sebuah persembahan muzikal antara tujuh orang yang terkorban di Cirebon, timur Jakarta, apabila bangunan tempat mereka berada, runtuh.

Pada tahun sama, sekurang-kurangnya 75 orang turut cedera apabila tingkat mezanin di bangunan bursa saham Indonesia di Jakarta runtuh ke ruang lobi. – AFP, HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here