KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian dalam keghairahan membantu insan yang ditimpa musibah, pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak tidak menafikan turut berdepan cabaran apabila ada segelintir individu sanggup menipu dengan pelbagai alasan semata-mata mahu meraih simpati.
Mengulas lanjut, Zizan mengakui ada juga pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan hingga sanggup menipu untuk mendapatkan bantuan.
“Kes yang menipu atau ‘scam’ banyak, membabitkan lebih ribuan ringgit memang banyak kalau saya hendak cerita.
“Selagi Allah SWT bagi saya bernafas dan sihat, saya bersyukur sebab boleh terus cari rezeki,” katanya.
Zizan ditemui pada acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years, sambutan sempena ulang tahun ke-10 francais filem itu di TGV Suria KLCC, di sini, Rabu lalu.
Namun begitu, Zizan atau nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak, 41, tetap berusaha membantu mana-mana individu yang benar-benar memerlukan.
“Kalau sudah terbukti dia susah dan saya mampu, saya beri seikhlas mungkin,” ujarnya.
Pelakon kelahiran Terengganu itu mendedahkan pernah beberapa kali didatangi individu sama dengan alasan berbeza untuk meminta bantuan.
“Ada yang saya pernah bagi, kemudian selepas itu dia minta lagi dengan beritahu untuk emak dia, kononnya kalau tidak dirawat kena potong kaki dan sebagainya.
“Saya kasihan, tapi lepas dapat (bantuan) dia datang lagi, jadi mungkin itu ‘scam’. Apapun saya cuba sedaya upaya,” jelasnya.
Zizan berkata, niatnya untuk berkongsi rezeki semata-mata kerana Allah, bukan mencari perhatian atau pujian.
“Saya buat kerana Allah SWT, apa yang saya dapat hari ini pun bukan kerana saya seorang, tapi sebab doa orang ramai termasuk ibu bapa dan peminat.
“Saya percaya apa yang saya dapat bukan milik saya seorang, jadi saya kongsi ketika orang lain dalam kesusahan,” katanya.
Menurut bintang filem Polis Evo itu, segala amal kebajikan yang dilakukannya sebaik mungkin tidak dihebahkan.
“Perkara ini kalau boleh saya suka sorok, tetapi saya fikir ada baik Allah SWT buka cerita ini bukan untuk saya rasa bangga, tapi untuk beri inspirasi kepada orang.
“Itu sahaja, saya fikir positif kerana saya takut kebanggaan itu akan melalaikan saya,” jelasnya.
Tambahnya, konsep memberi sedekah tidak merugikan, malah rezeki akan bertambah jika dilakukan dengan ikhlas.
“Kadang-kadang dalam RM10 yang kita ada, RM3 sahaja milik kita, selebihnya RM7 itu milik orang lain.
“Jadi jangan risau, kalau kita ikhlas akan ada rezeki lain yang sampai. Kita buat baik bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri,” katanya.
Sebelum ini, nama Zizan tular di media sosial selepas beberapa individu mendedahkan menerima bantuan daripadanya walaupun pelakon itu tidak pernah menghebahkan perbuatannya.
Perkara itu nyata mengundang pujian ramai netizen yang kagum dengan sikap dermawan Zizan.
Rata-rata menganggap pelakon itu wajar dijadikan contoh terbaik dalam kalangan selebriti tempatan. – BH Online –
IMedikel TV






