LONDON: Newcastle United menerima tamparan apabila penyerang baharu mereka, Yoane Wissa, terpaksa berehat sekurang-kurangnya empat minggu selepas mengalami kecederaan lutut ketika tugasan antarabangsa bersama Republik Demokratik Congo, kata pengurus, Eddie Howe, semalam.
Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro Wissa, yang dibeli dengan harga £55 juta (RM311.1 juta) dari Brentford, dibawa masuk bagi mengisi kekosongan di bahagian serangan selepas Alexander Isak berhijrah ke Liverpool.
Dia kini bertarung dengan masa untuk kembali pulih menjelang perlawanan Newcastle menentang Brighton & Hove Albion pada 18 Oktober.
“Semua orang mahu Yoane cergas,” kata Howe kepada wartawan menjelang aksi menentang Bournemouth yang kini di tangga keempat, esok.
“Tiada apa yang saya boleh lakukan secara peribadi dengan cara berbeza. Kami sudah lakukan segala yang mungkin sebagai sebuah kelab untuk menjaga Yoane.
“Tetapi seperti mana-mana pemain bola sepak, apabila mereka beraksi bersama pasukan kebangsaan, kita tidak mengawal minit permainan mereka dan malangnya dia cedera. Kini kami perlu hadapi situasi ini dengan sebaik mungkin.
“Kami menjangkakan dia akan berehat sehingga selepas rehat antarabangsa seterusnya. Dia sedang berperang dengan masa untuk cergas bagi perlawanan menentang Brighton.
“Harap-harap dia sempat pulih, kerana dia pasti menjadi pemain yang sangat penting untuk kami,” katanya lagi.
Kecederaan Wissa itu menambah tekanan ke atas pemain bintang Newcastle lain termasuk penyerang Jerman, Nick Woltemade, yang disambar dari Stuttgart dengan rekod perpindahan kelab bernilai sekitar £69 juta (RM390.3 juta).
Woltemade menjaringkan gol kemenangan 1-0 menentang Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Howe berkata, pemain berusia 23 tahun itu masih perlu menyesuaikan diri dengan saingan EPL.
“Ia sudah cukup sukar untuknya masuk ke liga baharu, dan anda boleh lihat kesan fizikal ketika menentang Wolves, ditambah lagi jadual padat apabila kami bertemu Barcelona (tewas 1-2 dalam aksi Liga Juara-Juara),” kata Howe. – REUTERS, HMetro Online –
IIMedikel TV






