Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUANTAN: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Hari Malaysia peringkat Negeri Pahang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannyta dalam usaha meringankan beban kos sara hidup mereka.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr.Fuziah Salleh dalam kenyataan berkata, program itu berlangsung sejak semalam hingga hari ini bermula semalam hingga hari ini bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
“PJRM juga mendapat kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pahang untuk menjual lebih 100 barangan keperluan rakyat termasuk daging dan ayam segar, beras, sayur-sayuran, telur, minyak masak, tepung gandum, tepung pulut, tepung beras, biskut, bawang, rempah ratus, bihun, sardin, kicap manis, cecair pencuci pinggan, sabun basuh pakaian dan lain-lain lagi.
“Semua barangan itu diberi potongan harga bermula 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Selain itu, jelasnya pengunjung juga boleh mendapatkan daging segar yang dijual pada harga RM25.00 sekilogram, ayam segar RM10.00 hingga RM11.00 seekor dan telur ayam gred B dijual pada harga RM9.50 sepapan.
Beliau berkata, KPDN Pahang turut menawarkan insentif berbentuk e-dompet bernilai RM20 kepada 1,500 pengunjung terawal selama dua hari PJRM berlangsung.
“KPDN Pahang setakat ini melaksanakan PJRM sebanyak 379 kali di dalam premis, manakala dua kali di luar premis, tujuh kali PJRM@Kampus, lapan kali di pasar dan 616 secara bergerak,” katanya.
IMedikel TV






