Home Sukan LIVERPOOL BERBELANJA MACAM ERA GEMILANG FERGUSON – CARRAGHER

LIVERPOOL BERBELANJA MACAM ERA GEMILANG FERGUSON – CARRAGHER

LONDON: Jamie Carragher menyamakan jendela perpindahan Liverpool pada musim panas kali ini dengan zaman kegemilangan Manchester United di bawah kendalian Alex Ferguson, apabila mereka seolah-olah mampu membeli mana-mana bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) yang diinginkan.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, penyandang juara EPL itu bermula cemerlang musim ini dengan tiga kemenangan berturut-turut, hasil gabungan wajah baharu yang mengukuhkan skuad kendalian Arne Slot.

Jeremie Frimpong memberi kepantasan di posisi pertahanan kanan, Milos Kerkez menambah tenaga di kiri, Florian Wirtz mencetus kreativiti di tengah, manakala Hugo Ekitike pantas menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.

Namun pembelian mega Alexander Isak bernilai £125 juta (RM715 juta) menjadi pelengkap kepada jendela perpindahan bernilai lebih £400 juta (RM2.2 bilion), yang dianggap paling luar biasa dalam sejarah moden kelab itu.

Carragher menulis dalam kolum The Telegraph: “Liverpool kini lebih mirip Real Madrid era Florentino Perez, Barcelona ketika di puncak atau Manchester United ketika Ferguson bebas memilih mana-mana pemain bintang EPL.

“Kelab ini diurus dengan baik dan walaupun berbelanja besar, mereka masih dalam garis panduan kewangan hasil perancangan bertahun-tahun. Malah pengkritik pemilik sebelum ini pasti sudah membuat pusingan-U.”

Bagaimanapun, legenda pertahanan itu mengingatkan harga tinggi Wirtz dan Isak hadir bersama tekanan besar.

“Apabila anda berbelanja besar sebanyak ini, anda mesti menang,” katanya.

Satu-satunya kegagalan Liverpool pada jendela perpindahan kali ini adalah usaha mereka untuk mendapatkan pertahanan England, Marc Guehi dari Crystal Palace pada hari terakhir sebelum jendela ditutup. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here