KOTA BHARU: Belum ada sebarang individu yang layak untuk menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Itu penjelasan Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail susulan beberapa nama individu dipetik bakal mengisi kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara.
Memetik laporan Harian Metro, Rosmadi berkata, jawatan utama itu akan dimuktamadkan pada kongres FAM akan datang.
“Bagi saya (nama calon Presiden) hanya sekadar khabar angin, banyak lagi calon-calon luar dan dalam yang layak isi jawatan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi Ex Treble 12 di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Rosmadi berkata, keputusan Joehari meletakkan jawatan sememangnya mengejutkan jawatan eksekutif FAM namun perlu menghormati keputusan yang dibuat beliau.
Katanya, sepanjang enam bulan berkhidmat, tiada isu besar berlaku dan beliau menjalankan tugas dengan sangat baik.
“Peletakan jawatan (Joehari) memang mengejutkan tetapi kita hormati dan setakat ini tak nampak lagi calon yang sesuai (ganti),” katanya.
Selepas peletakan jawatan Joehari, jawatan pemangku presiden disandang, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Selepas ketiadaan Joehari, terdapat beberapa individu disebut layak mengisi kerusi berkenaan antaranya mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pemain bola kebangsaan, Safee Sali.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, FAM bersedia membantu kerajaan Kelantan membuat persediaan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028. – HMetro Online –
IMedikel TV






