Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: “Saya tidak akan pulang lagi,” itu pesanan terakhir seorang nelayan warga emas kepada isterinya sebelum keluar memancing di perairan Kelantan, seolah-olah sudah menjangka nasib yang bakal menimpa.
Ahmad Husin, 72, dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu dan dikhuatiri lemas selepas gagal pulang seperti kebiasaannya.
Isterinya, Che Bunga Yaakob, 63, berkata, hatinya tidak pernah tenang sejak ketiadaan suaminya malah dia sering terbayang-bayang wajah lelaki itu.

“Malam tadi saya bermimpi dia pulang ke rumah, selepas buat solat hajat bersama 40 orang, saya sering terlihat bayangannya dalam keadaan tersenyum.
“Biasanya kalau dia keluar awal pagi memancing, dia akan pulang sebelum jam 1 tengah hari tetapi pada hari kejadian, dia tidak pulang walaupun saya berulang kali cuba menghubunginya,” katanya ketika ditemui di Pantai Geting, di sini, hari ini.
Menurut Che Bunga, suaminya keluar pada pagi kejadian dengan membawa bekalan enam biji pisang rebus.
Namun sehingga kini, bot yang digunakan juga masih belum ditemui pasukan penyelamat.
Mangsa berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan selain turut mengambil upah sebagai penebang pokok.
Pasangan itu tinggal berdua di rumah mereka, sementara enam anaknya sudah berkeluarga dan menetap secara berasingan.
IMedikel TV






