Home Hiburan WANI BANGGA CAK CAK CEKUK JADI LAGU LATAR PERSEMBAHAN HARI KEBANGSAAN

WANI BANGGA CAK CAK CEKUK JADI LAGU LATAR PERSEMBAHAN HARI KEBANGSAAN

224
0

KUALA LUMPUR: Wani Kayrie, 25, berbesar hati single terbaharu, Cak Cak Cekuk dipilih sebagai lagu latar bagi salah satu segmen persembahan utama pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Putrajaya, esok.

Memetic laporan Berita Harian, lebih istimewa apabila adiknya, Syazwina, 14, turut terbabit dalam persembahan itu.

Wani atau nama sebenar, Syazwani Abdullah, berkata berita baik itu dimaklumkan adiknya sendiri yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Petaling Jaya, pada sambutan itu.

“Kali pertama adik beritahu lagu saya dipilih antara lagu utama di persembahannya. Saya difahamkan persembahan itu membabitkan pelajar sekolah dari pelbagai daerah,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, hakikatnya, Wani terlebih dahulu maklum mengenai pemilihan Cak Cak Cekuk sebagai lagu latar persembahan Hari Kebangsaan, namun, diminta tidak menghebahkannya.

“Tetapi, selepas lihat ada pihak muat naik video latihan di TikTok dan viral, saya jadi bersemangat untuk berkongsi perkara ini.

“Apabila video itu tular, saya fikir ia teknik pemasaran yang bagus untuk tarik orang ramai saksikan perarakan Hari Kebangsaan.

“Saya sangat seronok dan berbesar hati apabila akhirnya, lagu Cak Cak Cekuk disedari atas faktor kekayaan elemen muzik yang menggambarkan kesenian Malaysia. Jadi, berjayalah kami dalam menghasilkan karya ini,” katanya kepada BH Online.

Wani berkongsi di Instagram (IG) sedutan video latihan persembahan lagu Cak Cak Cekuk dijayakan pelajar sekolah sebagai salah satu segmen sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Putrajaya, esok.

Wani berharap persembahan dijayakan adik dan teman-teman lain mendapat sokongan rakyat Malaysia.

“Saya harap ramai rakyat Malaysia datang sokong adik-adik kita yang bertungkus lumus menjayakan persembahan. Berbulan-bulan mereka berlatih sampai demam.

“Saya dengar ada yang masuk hospital, mungkin kerana terlalu penat. Tapi penghujungnya, mereka bawa semangat patriotik dan saya bangga lihat mereka semua. Tidak sabar hendak tunggu esok,” katanya.

Wani gembira lagu Cak Cak Cekuk mendapat maklum balas positif hingga meraih lebih sejuta tontonan di YouTube.

Lagu Cak Cak Cekuk adalah karya ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh dan dilancarkan pada 23 Mei lalu.

Lagu pop moden dengan nuansa tradisional itu diinspirasikan daripada lagu rakyat popular Cak Cekur Udang Gamit yang disusun semula dengan sentuhan kontemporari. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here