Home Buletin Semasa FESTIVAL ORKID ANTARABANGSA JULUNG KALI DI KELANTAN, SASAR 80,000 PENGUNJUNG

FESTIVAL ORKID ANTARABANGSA JULUNG KALI DI KELANTAN, SASAR 80,000 PENGUNJUNG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Festival Orkid Antarabangsa 2025 bakal dianjurkan buat julung kali di Kelantan dengan sasaran kira-kira 80,000 pengunjung.

Pengerusi Festival, Norlim Mohamad Nor, berkata festival berkenaan dijangka menarik penyertaan dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Sasaran kita dari Thailand, Indonesia, Singapura serta Brunei akan datang ke sini untuk Festival Orkid. Sebab ini kali pertama diadakan festival antarabangsa di Kelantan.

“Kami menganggarkan seramai 80,000 pengunjung akan mengunjungi festival ini nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media Festival Antarabangsa Keusahawanan Orkid Kelantan Orkid 2025, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Negeri Kelantan, Nik Mohamad Fahmi Nik Daud, Penolong Pengarah TIC Negeri Kelantan, Muhammad ’Alinin Syahir Mahmood Sabri dan Ketua Unit Operasi Malaysia Airport Sdn Bhd, Mohamad Faris Nor Azman.

Katanya objektif utama penganjuran adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya sektor pelancongan, perhotelan serta peniaga tempatan.

“Peserta dari luar negara akan masuk ke sini lebih awal untuk mempamerkan dan menjual hasil orkid.

“Di sini peluang kita untuk melihat industri ini boleh dikembangkan terutamanya di Kelantan,”katanya.

Beliau berkata, festival itu menghimpunkan kira-kira 30 pemain orkid dari dalam dan luar negara yang akan mempamerkan pelbagai spesies orkid.

Katanya antara tarikan utama adalah Black Orchid dari Papua New Guinea, yang akan dipamerkan kepada orang ramai sebagai satu keunikan baharu dalam dunia orkid di negeri ini.

“Sebenarnya black orchid dari Papua New Guinea menjadi tarikan untuk pameran di festival itu nanti.

“Itu adalah satu keunikan orkid untuk kita perkenalkan di Kelantan,”katanya.

Menurutnya, lokasi  Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa dipilih kerana pernah dikenali sebagai tapak pesta flora sebelum ini dan kini dihidupkan semula sebagai pusat pameran orkid.

Festival Orkid Antarabangsa 2025 berlangsung sembilan hari bermula 17 hingga 26 Oktober depan.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here