KUALA LUMPUR: Penyanyi Zehra Zambri, 38, mahu mengatur semula karier seni yang ‘terbengkalai’ akibat masalah rumah tangga.
Zehra yang bercerai dengan bekas suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi, Rabu lalu, mahu kembali menjana pendapatan melalui dunia muzik.
“Selepas musim kesebelas Gegar Vaganza (GV11) berakhir, Februari lalu, banyak isu timbul. Jadi, banyak perkara terpaksa saya tangguhkan dahulu,
“Sekarang, barulah saya boleh merencanakan semula karier seni. Saya hendak sibukkan diri dan lupakan kesedihan,” katanya.
Zehra yang popular dengan lagu Semalakama bersyukur masih ada pihak yang sudi mengundangnya, menyanyi.
“Alhamdulillah, untuk kelangsungan hidup saya dan anak, masih ada lagi undangan walaupun terpalit dengan masalah rumah tangga.
“InsyaAllah, saya akan ke Brunei bagi memenuhi jemputan dan beberapa lagi undangan kecil,” katanya.
Zehra yang memiliki ijazah sarjana sains dalam bidang komunikasi dan pengurusan juga bercadang mencari kerja sesuai dengan kelayakan.
Zehra yang pernah bergelar penyampai berita RTM suka mencuba sesuatu yang baharu, malah, tidak menolak andai diberi peluang menjadi pensyarah.
“Saya perlu aktifkan diri dan tidak terlalu bergantung kepada bidang nyanyian. Kerjaya sebagai penyanyi ada masanya bermusim,” katanya.
Zehra dan Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang berusia tiga tahun.
Pada GV11 yang dimenangi penyanyi ‘senior’, Liza Aziz, Zehra beroleh tempat kelima dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. – BH Online –
IMedikel TV






