Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina selesai.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes berkenaan.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” kata kenyataan itu.
KPM turut menegaskan bahawa kes berkenaan menjadi keutamaan kementerian ketika ini dan berharap siasatan yang telus dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga mangsa serta semua pihak terlibat.
IMedikel TV






