Oleh:Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Pasti ramai yang pernah mengalami masalah gatal yang tidak hilang walaupun sudah mandi dan sapu ubat berkali-kali.
Adakalanya mereka tidak sedar akan punca kegatalan kerana merasainya secara tiba-tiba.
Bercerita mengenai rasa gatal, salah satu puncanya mungkin datang daripada sentuhan dengan ulat bulu atau serangga kecil yang ramai tidak menyedarinya.
Tahukah anda ulat bulu memiliki bulu yang mengandungi racun yang disebut thaematoxin dan menyebabkan iritasi pada kulit manusia.
Oleh itu, ia tidak boleh dipandang ringan kerana berisiko menjejaskan kesihatan individu yang bersentuhan dengannya.
Kulit individu berkenaan akan menjadi kemerahan akibat digaru berulang kali kerana rasa gatal yang teramat sangat.
Menurut artikel daripada Medical News Today, tanda utama ruam ulat bulu bergantung kepada spesies yang menyebabkan gejala, namun adakalanya kemunculan ruam mungkin seperti merah dan lebam.
Selain itu, gatal berpanjangan juga boleh disebabkan oleh bulu halus yang masih tertinggal pada kulit atau pakaian menyebabkan toksin terus merangsang lapisan kulit.
Serangga kecil ini selalunya berkembang di kawasan rumah, kebun dan pokok, oleh sebab itu, elakkan daripada menyentuh atau menggosok kawasan yang terkena bulu, sebaliknya segera mencuci kawasan itu dengan sabun dan air bersih.
Bagaimanapun, sekiranya sudah terkena dan mengalami gejala atau gatal yang berpanjangan, segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
Imedikel TV






