Home Buletin Semasa CEKAL HADAPI UJIAN, BEKAS PELAJAR TERBAIK KEBANGSAAN STPM 2020 BUKA KELAS TUISYEN...

CEKAL HADAPI UJIAN, BEKAS PELAJAR TERBAIK KEBANGSAAN STPM 2020 BUKA KELAS TUISYEN DALAM TALIAN

557
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: “Biar patah sayap, asalkan terbang jua.” Meskipun diuji dengan masalah kesihatan sehingga tidak mampu berjalan, seorang pelajar lelaki tetap cekal meneruskan usaha mencari ilmu dan pendapatan apabila mengambil inisiatif mengadakan kelas tuisyen secara dalam talian di rumahnya.

Muhammad Syahmill Aiman Mohd Asri, 25, dari Kampung Felcra Bukit Tandak, adalah pelajar tahun akhir dalam bidang Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ketika kunjungan kru IMedikel TV ke rumahnya baru-baru ini, Muhammad Syahmill Aiman hanya terbaring dikatil dan menyambut kedatangan kami dengan melontarkan senyuman.

Menurutnya walaupun dalam keadaan yang kurang sempurna, namun disebabkan minat mendalam untuk bergelar seorang pendidik, dia mengambil keputusan untuk menjadi guru tuisyen secara dalam talian.

“Saya mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah untuk pelajar Tingkatan Lima dalam tempoh seminggu sekali. Saya ada 15 pelajar online.

“Memang agak penat mengajar walaupun secara online, tetapi saya fikir sebab saya suka mengajar dari dulu.

“Kemungkinan jika saya tidak mengajar, saya akan fikir banyak perkara. Lebih baik saya mengajar, walaupun keadaan tidak mengizinkan,”katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, menurutnya sebulan sebelum peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018, secara tiba-tiba keadaan kesihatannya tidak mengizinkan menyebabkan dia terpaksa menunda pengajian selama setahun.

“Sebulan sebelum STPM, saya sakit, tiba-tiba tidak boleh berjalan, kemudian saya tunda belajar. Selepas itu baru saya sambung kembali belajar.

“Selepas itu saya rasa keadaan bertambah baik tetapi disebabkan cuti yang banyak, jadi cikgu sarankan untuk sambung tahun depan (2019),”katanya.

Katanya dia tidak boleh melakukan sebarang aktiviti kerana ia menyebabkan dirinya menjadi mudah keletihan.

Menurutnya doktor mengesahkan dia didiagnos penyakit Chronic Lung Hypersensitivity Pneumonitis Complicated with Lung Fibrosis di mana paru-paru mudah sensitif pada tahun lalu.

Muhammad Syahmill Aiman berkata sejak itu dia perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen.

”Doktor memaklumkan saya mempunyai penyakit Hypersensitivity Lung, paru-paru mudah sensitif, kemudian doktor cakap radang. Kemudian tahun lalu doktor maklum kedua paru-paru rosak.

“Sejak dari itu saya bergantung kepada oksigen,”katanya.

Jelasnya, sebelum ini dia boleh berjalan seperti biasa namun dalam tempoh tiga hingga empat bulan tahun ini dia sudah tidak mampu berjalan dan menyebabkannya terlantar.

Dia yang juga pernah dinobatkan Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2020, berharap agar dapat menghabiskan pengajian untuk bergelar pendidik.

Katanya dia tidak sempat menghabiskan latihan industri sebagai guru praktikal di sebuah sekolah dan berharap dapat menamatkan pengajian tahun hadapan.

Katanya dia juga berharap dapat kembali pulih seperti sedia kala walaupun terpaksa bergantung dengan bantuan  oksigen.

Anak kepada pasangan suami isteri Mohd Asri Che Ngah, 51, dan Aziah Mamat, 48 itu juga ingin menjadi kebanggaan keluarga dan contoh yang baik kepada adiknya Muhammad Arif Zulfaqar Zuremi, 14.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, anak sulungnya itu adalah harapan keluarga memandangkan dia hanya bekerja sebagai penoreh getah manakala isterinya pula bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya.

Katanya sebagai seorang bapa, dia akan terus menyokong dan memberi semangat untuk anaknya berjaya.

“Saya berduka cita apabila mengetahui anak saya sakit kerana dia adalah harapan sebagai anak sulung.

“Saya tetap gembira kerana dia ingin berjaya walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya selalu berpesan kepada Aiman, teruskan persekolahan walaupun sakit. Mungkin sakit ini ada masa

“Kami sebagai ibu bapa akan tetap bagi sokongan dan dorongan serta galakan untuk belajar.

“Dia anak harapan keluarga,”katanya dalam nada sedih.

Bagi orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menyalurkan terus sumbangan ke akaun Bank Islam 03027029627755 atas nama Muhammad Syahmill Aiman Mohd Asri.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here