SHAH ALAM: Penyanyi XPDC, Ali, 57, menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan anggota XPDC tidak mengambil tahu keadaan dirinya yang terlantar sakit dan tidak melawatnya.
Memetik laporan Harian Metro, Ali yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam berkata, kesibukan dengan jadual seni menyebabkan mereka tidak dapat melawatnya apabila dia dimasukkan ke hospital.
“Tak betul semua itu. Sejak dirawat di sini, Eddie (bass) dah datang melawat. Hari ini (semalam) pun Izo (gitar) pula datang melawat. Jadi, soal saya diabaikan tak timbul langsung.
“Kalau dia tak datang sebelum ini, mungkin kerana ada kerja lain tapi Izo ada hubungi saya. Walaupun dia tak datang tapi dia ada berdoa juga. Saya pun faham perangai Izo.
“Dah tua-tua tak payahlah nak sensitif sangat. Ada masa dia datanglah,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan semalam.
Ali berkata, Izo memberikan nasihat agar dia menjaga kesihatan dan pada masa sama, turut menjemputnya untuk hadir ke Konsert XPDC Metalkestra yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, 8 November ini.
“Katanya kalau saya boleh hadir, dia nak saya bergabung (menyanyi) dengan Mamu Fazli di atas pentas. Itupun kalau kesihatan mengizinkan, insya-Allah.
“Kalau tak boleh menyanyi pun, saya mungkin akan pergi untuk sokong mereka. XPDC tak pernah lupakan saya. Saya tak kisah kalau ada yang kata begitu.
“Mereka tetap berhubung dengan saya. Biasalah orang boleh kata macam-macam sedangkan hanya kami tahu perkara sebenar,” katanya.
Pada masa sama, Ali melahirkan perasaan sedih dengan perbalahan yang membabitkan kelompok penyokong XPDC dan XPDC Kita Peng Yu.
“Masing-masing ada peminat. Tak tahulah macam mana. Benda-benda ini mengarutlah. Bagi saya, kita dah tua. Anggota sana, Zuar (bass) selalu datang kalau saya sakit.
“Masing-masing cari rezeki ikut jalan sendiri dan ada penyokong,” katanya.
Sementara itu, mengulas keadaan kesihatannya, Ali berkata, dia dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas semasa berada di rumah seorang rakan.
“Dah 10 hari saya di wad. Saya ada masalah paru-paru berair dan doktor dah keluarkan. Keadaan saya ketika itu agak kronik. Syukurlah sekarang semua dah okey.
“Sepatutnya saya dah boleh keluar tapi tiba-tiba saya demam pula tiga hari. Mungkin esok (hari ini) saya boleh keluar. Insya-Allah, ” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






