KUALA TERENGGANU: Sebelum dinaikkan ‘pangkat’ menyarung jersi pasukan utama Terengganu FC (TFC) pada musim ini, nama Khala’if Naskam tidak begitu dikenali.
Memetik laporan Harian Metro, bagaimanapun pada musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026, nama pemain kelahiran Kampung Kedai Lalat, Kelantan itu mula meniti di bibir penyokong setia skuad Penyu.
Ini kerana, bekas pemain skuad Piala MFL TFC II musim lalu itu meletakkan namanya sebagai penjaring gol TFC ketika menang 3-0 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Lebih manis, sayap lincah berusia 23 tahun itu tidak menunggu lama untuk meledak jaringan ketiga pasukannya selepas menggantikan Gabriel Silva atau Gabi pada minit hujung perlawanan.
“Saya menanti dengan penuh sabar makluman daripada ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali bila nama saya dipanggil untuk dimasukkan sebagai pemain gantian.
“Ini kerana saya tekad untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan yang menyenaraikan saya dalam pasukan serta senarai pemain pada malam tadi.
“Selain untuk membuktikan kemampuan diri, saya berazam mahu memberikan kegembiraan buat peminat setia TFC serta keluarga saya yang sentiasa memberikan sokongan padu.
“Alhamdulillah walaupun dimasukkan pada penghujung babak kedua, mungkin rezeki, saya menjaringkan gol ketiga pasukan yang saya sifatkan sebagai pembakar semangat untuk perlawanan seterusnya.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan kerana memberikan peluang kepada saya beraksi dan seterusnya menjaringkan gol pada minit ke-79.
“Jaringan ini menjadi kenangan manis lebih-lebih lagi musim pertama beraksi dalam saingan Liga Super,” kata Khala’if yang juga anak kedua daripada lima beradik. – HMetro Online –
IMedikel TV






