Home Luar Negara ZOO MINTA DERMA KUDA, ARNAB PELIHARAAN UNTUK HAIWAN PEMANGSA

ZOO MINTA DERMA KUDA, ARNAB PELIHARAAN UNTUK HAIWAN PEMANGSA

343
0

AALBORG, Denmark: Sebuah zoo di sini meminta orang ramai menyumbangkan haiwan peliharaan kecil atau kuda yang tidak lagi diingini untuk dijadikan makanan kepada haiwan pemangsa yang diternak di zoo itu, lapor CBS News.

“Di zoo, kami mempunyai tanggungjawab untuk meniru rantaian makanan semula jadi haiwan daripada segi kebajikan haiwan dan integriti profesional,” kata Zoo Aalborg dalam satu hantaran di media sosial.

Zoo yang terletak di utara Denmark itu menyatakan bahawa ayam, arnab dan tikus belanda adalah sebahagian penting daripada diet pemangsanya yang memerlukan “mangsa keseluruhan” seperti apa yang akan mereka buru di habitat liar.

“Jika anda mempunyai haiwan sihat yang terpaksa dilepaskan atas pelbagai sebab, jangan ragu-ragu untuk menyumbangkannya kepada kami. Haiwan itu akan dimatikan secara berperikemanusiaan oleh kakitangan terlatih dan selepas itu digunakan sebagai makanan.

Dengan cara ini, tiada apa yang dibazirkan dan kami memastikan tingkah laku semula jadi, nutrisi dan kesejahteraan untuk pemangsa kami,” kata Zoo Aalborg.

Zoo itu menyatakan ia menerima sumbangan arnab, tikus belanda dan ayam pada hari bekerja antara 10 pagi hingga 1 tengah hari, tetapi tidak lebih daripada empat ekor pada satu-satu masa.

Ia juga menerima kuda untuk dijadikan makanan haiwan yang menurut laman sesawangnya akan dimatikan secara berperikemanusiaan oleh seorang penjaga zoo dan seorang doktor haiwan.

Kuda yang ingin disumbangkan sebagai makanan haiwan mestilah tidak menerima sebarang rawatan untuk penyakit sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan dan tertakluk kepada had saiz, menurut kenyataan zoo di laman sesawangnya.

Haiwan itu juga mestilah berada dalam keadaan yang selamat untuk dipindahkan.

Memandangkan kuda itu didermakan, penderma boleh menerima potongan cukai berdasarkan nilainya.

“Keperluan kami berbeza-beza sepanjang tahun dan mungkin ada senarai menunggu,” kata Zoo Aalborg. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here