Home Hiburan SYAMEL, ERNIE KONGSI PENTAS

SYAMEL, ERNIE KONGSI PENTAS

259
0

KUALA LUMPUR: Berganding menjayakan konsert sempena menyambut 2026, pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie berjanji apa yang bakal disajikan pada Konsert Eksklusif Tahun Baharu di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, pada 31 Disember bakal menjadi persembahan paling diingati peminat.

Memetik laporan Berita Harian tidak mahu lari daripada tema ‘Nostalgia’, pasangan ini memilih lagu lama yang diberi nafas baharu, selain lagu hit masing-masing, pada persembahan eksklusif itu.

Ernie yang cukup teruja menjayakan persembahan intim dan eksklusif di hadapan 800 tetamu itu mahu peminat merasai pengalaman berbeza.

“Setakat ini, kami belum berbincang dengan pengarah muzik mengenai susunan lagu dan sebagainya.

“Namun, sebagai penyanyi, kami cuba tidak lari daripada tema. Kami ingin peminat merasai nostalgia itu dengan sedalamnya dengan pengalaman berbeza,” katanya pada sidang media Konsert Eksklusif Tahun Baharu di ibu negara, baru-baru ini.

Bagi Syamel pula, persembahan eksklusif itu memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan dia dan isteri bergabung di pentas.

Seperti Ernie, kepuasan penonton juga menjadi keutamaan dan mahu tampil dengan persembahan yang bakal dikenang.

“Layanan yang bakal kami beri kepada peminat pada malam itu sangat berbeza. Kami akan beri persembahan yang sangat intim dan lebih dekat dengan peminat.

“Itu antara tarikan tarikan malam itu jika peminat mahu lihat Syamel dan Ernie secara lebih dekat.

“Lagipun, boleh dikatakan sudah agak lama kami tidak muncul bersama. Jadi, ini adalah peluang yang baik. Banyak idea yang kami pernah bincang sebelum ini sesuai dibawa pada konsert itu,” katanya.

Berkongsi soal pemilihan lagu, Syamel mengaku cabaran memenuhi selera penonton yang merangkumi pelbagai pihak, termasuk tetamu sektor korporat.

Justeru, Syamel perlu memilih lagu dan susunan muzik tepat supaya semua hadirin gembira dengan persembahan mereka.

“Kami difahamkan konsert itu bukan hanya dibuka kepada peminat, malah sektor korporat. Jadi, untuk selamat dalam pemilihan lagu, kami akan pilih lagu yang akan diingati penonton.

“Kami akan buat susunan muzik yang sesuai untuk dua generasi,” katanya.

Melengkapkan lagi persembahan pada ambang tahun baharu adalah DJ Fuzz, yang akan mengambil alih pentas untuk segmen kiraan detik tahun baharu.

DJ Fuzz mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan tema nostalgia terus dirasai sehingga kemuncak acara.

“Saya akan memainkan lagu lama diberi nafas baharu. Saya mahu generasi baharu dan lama sama-sama menikmatinya.

“Ini adalah alternatif baharu bagi menyambut 2026 dalam suasana lebih selesa dan selamat. Kita tidak perlu bersesak di jalan raya atau berpanas di acara tumpuan awam lain,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here