WASHINGTON: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes meluahkan rasa kecewa terhadap rakan sepasukannya selepas seri 2-2 menentang Everton dalam aksi pramusim dengan menyifatkan prestasi mereka sebagai ‘malas’ dan menggesa kelab untuk mendapatkan lebih ramai pemain baharu.
Gol separuh masa kedua daripada Mason Mount meletakkan United di landasan untuk menang di Atlanta, Georgia, selepas jaringan pembukaan Fernandes disamakan oleh Iliman Ndiaye. Namun, gol sendiri oleh Ayden Heaven pada minit ke-75 menghadiahkan keputusan seri kepada Everton.
Keputusan itu sedikit mencacatkan penutup jelajah pramusim United di Amerika Syarikat, selepas mereka mencatat kemenangan ke atas West Ham United dan Bournemouth bulan lalu.
“Ia penting untuk membentuk cara permainan yang kami mahukan dan juga untuk melibatkan pemain baharu,” kata Fernandes kepada NBC Sports.
“Kami tak mahu menamatkan jelajah dengan cara ini. Prestasi kami tidak bagus dan kami sedikit malas hari ini. Kami perlu elakkan itu kerana sikap malas boleh memakan diri pada bila-bila masa.”
United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2024-25 di tempat ke-15, pencapaian terburuk dalam sejarah mereka dan sedang berusaha memperkukuh skuad. Mereka menandatangani Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo, yang kedua-duanya diturunkan menentang Everton.
“Ada peningkatan. Tapi belum berada pada tahap sepatutnya. Saya tak mahu menyalahkan sesiapa, tapi kelab sedang buat yang terbaik berdasarkan situasi kewangan yang sering diperkatakan,” kata Fernandes.
“Tapi memang jelas kami perlukan lebih persaingan dalam skuad, lebih kualiti untuk memaksa setiap pemain melangkah lebih jauh dan layak ke kesebelasan utama. Saya rasa itulah yang cuba dilakukan oleh kelab. Harapnya kami dapat satu atau dua pemain lagi untuk membantu dalam hal ini.”
Ketika diminta mengulas kenyataan Fernandes, pengurus Ruben Amorim berkata kepada wartawan:
“Saya gembira apabila pemain menunjukkan perasaan seperti itu. Itu tandanya mereka faham keadaan sebenar. Jadi, ia satu petanda yang baik.
“Saya rasa momentum sepanjang jelajah ini sangat baik. Kami dapat masa untuk bekerja dengan suasana yang baik, dan sekarang kami akan kembali ke Carrington dan musim akan bermula tidak lama lagi. Kami pergi dengan kesedaran bahawa masih banyak perlu diperbaiki.”
Manchester United akan memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada 17 Ogos. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






