Home Luar Negara MAK CIK KAYA PENCURI RANTAI BERLIAN

MAK CIK KAYA PENCURI RANTAI BERLIAN

JAKARTA: Di sebalik penampilan serba mewah dengan beg tangan jenama Hermès, seorang wanita berusia 49 tahun di Indonesia rupanya mempunyai tabiat mencuri.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, barangan yang dicuri pula bukan biasa-biasa, sebaliknya rantai berlian bernilai Rp 50 juta (kira-kira RM12,936).

Memetik laporan Kompas, kelicikan suspek bagaimanapun berakhir apabila dia diberkas polis di kediamannya di sebuah kondominium di Jakarta.

Ia susulan laporan dan aksinya mencuri di sebuah pusat beli-belah di Kelapa Gading, Jakarta Utara, dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Sektor Kelapa Gading, Penolong Komisioner Polis Seto Handoko berkata, suspek ditahan pada jam 5.30 pagi waktu tempatan, 1 Ogos lalu.

“Modus operandinya adalah memperlihatkan dirinya pelanggan kaya. Dengan penampilannya yang meyakinkan, tiada siapa yang mengesyaki niat jahatnya,” kata Seto dalam kenyataan dilapor Kompas, kelmarin.

Menurutnya, suspek berbusana serba putih masuk ke sebuah kedai emas dan meminta pekerja yang berusia 20 tahun untuk menunjukkan beberapa koleksi rantai dan cincin.

“Ketika pekerja itu leka melayan permintaannya, suspek dengan pantas mengambil seutas rantai emas berloket berlian, melilitkannya pada tangan sebelum menutupinya dengan lengan baju,” jelasnya.

Selepas berjaya, suspek berpura-pura tidak berminat untuk membeli dan terus berjalan keluar dari kedai seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Kehilangan rantai itu hanya disedari pekerja terbabit ketika dia mengemas semula barangan yang dipamerkan, sebelum membuat laporan polis yang turut disertakan rakaman CCTV.

“Berdasarkan bukti rakaman dan maklumat pakaian suspek, kami berjaya mengesannya sebelum melakukan serbuan di kondominium tempat dia tinggal di wilayah Pondok Aren,” tambah Seto. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here