Home Sukan CHARLIE WOODS TERSINGKIR DARIPADA KEJOHANAN REMAJA AS

CHARLIE WOODS TERSINGKIR DARIPADA KEJOHANAN REMAJA AS

DALLAS, Amerika Syarikat: Charlie Woods gagal melayakkan diri ke pusingan penentuan match play pada Kejohanan Amatur Remaja Amerika Syarikat (AS) di Dallas.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, anak lelaki legenda golf Tiger Woods yang berusia 16 tahun itu mencatat 81 dan 74 dalam dua pusingan permainan stroke pada hari Isnin dan Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan 14 atas par 155. Pusingan match play bermula pagi Rabu.

Kejohanan ini bermula dengan 264 pemain mengambil bahagian dalam format stroke play di Kelab Golf Trinity Forest dan Brook Hollow. Hanya 64 pemain terbaik mara ke peringkat match play.

Antara yang berjaya mara adalah Cameron Kuchar, anak kepada pemain Jelajah PGA, Matt Kuchar.

Dia menamatkan dua hari permainan stroke dengan catatan 3 atas par (144), yang juga merupakan garisan kelayakan (cut line).

Kuchar, pelajar senior sekolah menengah dari Florida, membuat komitmen untuk bermain di Universiti TCU.

Dia berentap dengan Kailer Stone dari Alameda, California pada pusingan match play. Stone, 17, menamatkan pusingan stroke play di tempat ke-13 bersama dengan catatan satu bawah par.

Pusingan pertama Charlie di Brook Hollow dicemari oleh empat double bogey dan lima bogey, dengan hanya dua birdie sebagai pengimbang.

Pada pusingan kedua di Trinity Forest, Charlie bermain sembilan lubang pertama pada paras par – tiga birdie dan tiga bogey – namun kehilangan tiga pukulan di sembilan lubang terakhir selepas mencatat dua double bogey, tiga bogey dan dua birdie.

Tiger Woods hadir di Dallas untuk menyaksikan anaknya beraksi.

Charlie masih berpeluang untuk beraksi pada Kejohanan Remaja AS dan berhasrat untuk menyertai senarai juara terdahulu yang akhirnya bergelar juara kejohanan major.

Senarai itu termasuk Johnny Miller (1964), David Duval (1989), Tiger Woods (1991-93), Brian Harman (2003), Jordan Spieth (2009, 2011) dan Scottie Scheffler (2013).

Tiger Woods menjuarai kejohanan amatur remaja pertamanya pada usia 15 tahun.

Charlie sebelum ini juga gagal melepasi cut pada edisi tahun lalu di Oakland Hills, Michigan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here