LONDON: Manchester United berdepan risiko memulakan musim baharu tanpa penyerang baharu apabila mereka bergelut untuk bersaing dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, pada hari yang sama Marcus Rashford meninggalkan Old Trafford secara pinjaman ke Barcelona, muncul laporan barisan pengurusan United kini mengakui skuad kendalian Ruben Amorim mungkin memulakan kempen baharu menentang Arsenal bulan depan tanpa penyerang baharu.
United membelanjakan lebih £130 juta (RM745 juta) pada musim panas ini untuk mendapatkan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo, namun kedua-duanya dijangka akan beraksi sebagai dua pemain nombor 10 dalam formasi 3-4-2-1 Amorim.
Jurulatih dari Portugal itu turut mahukan seorang penyerang yang berpengalaman dalam EPL, namun United terlepas sasaran utama mereka Liam Delap, yang memilih untuk menyertai Chelsea.
Sementara itu, Viktor Gyokeres kemungkinan besar berpindah ke Arsenal manakala Hugo Ekitike sudah disambar oleh juara liga Liverpool.
United kini sedang berusaha mengumpul dana dengan menjual pemain sedia ada dan dikaitkan dengan beberapa penyerang seperti Randal Kolo Muani dari Paris Saint-Germain, Ollie Watkins dari Aston Villa dan penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko selain pemain ejen bebas seperti Dominic Calvert-Lewin.
Satu lagi pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah pertukaran pemain dengan Chelsea yang membabitkan Alejandro Garnacho dan Nicolas Jackson.
Amorim sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega selepas berjaya mendapatkan Mbeumo tepat pada masanya untuk menyertai jelajah pramusim United di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun perpindahan itu memberi keuntungan £6.5 juta (RM37.2 juta) kepada jiran mereka, Manchester City menerusi klausa jualan semula 10 peratus dalam perpindahan pemain Cameroon itu dari Troyes – yang dimiliki oleh City Football Group – ke Brentford pada tahun 2019. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






