Home Sukan BAPA GYOKERES ‘MENANGIS’ KECEWA RUNDINGAN KE ARSENAL BUNTU

BAPA GYOKERES ‘MENANGIS’ KECEWA RUNDINGAN KE ARSENAL BUNTU

LISBON: Perpindahan penyerang Sweden, Viktor Gyokeres ke Arsenal kini tergantung tanpa kepastian apabila rundingan menemui jalan buntu sehingga menyebabkan bapanya, Stefan, dilaporkan ‘menangis’ kerana percaya perpindahan itu tidak akan menjadi kenyataan.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Gyokeres, 26, menjadi sasaran utama Arsenal untuk memperkuatkan jentera serangan mereka musim ini dan kelab itu dilaporkan membuat kemajuan besar dalam rundingan bersama Sporting CP sejak beberapa minggu lalu.

Namun, walaupun penyerang itu dikatakan begitu terdesak mahu berpindah ke utara London sehingga enggan melapor diri ke latihan pramusim bersama Sporting, kedua-dua kelab masih gagal mencapai kata sepakat mengenai nilai penuh perpindahan.

Arsenal sudah bersetuju untuk membayar €63.5 juta (RM326.8 juta) secara tunai, ditambah €10 juta (RM51.5 juta) dalam bentuk bonus, termasuk €5 juta (RM25.8 juta) bayaran segera serta €5 juta lagi dalam bentuk tambahan.

Namun Sporting tetap berkeras mahukan bayaran permulaan sebanyak €7.5 juta (RM38.6 juta), yang menjadi punca utama ketegangan dalam rundingan.

Menurut laporan akhbar Portugal, A Bola dan Maisfutebol, suasana tegang kini menyelubungi rundingan hujung minggu lalu, dengan keluarga Gyokeres turut dilaporkan terkesan secara emosi.

Ayahnya, Stefan, dilaporkan begitu kecewa dan ‘menangis teresak-esak’ apabila merasakan anaknya sudah melakukan segala usaha untuk menjayakan perpindahan itu tetapi tidak mendapat kerjasama sewajarnya dari pihak kelab.

Lebih memburukkan keadaan, Arsenal dilaporkan mahu menyelesaikan urusan itu sebelum skuad kendalian Mikel Arteta berlepas ke Asia bagi siri jelajah pramusim pada Sabtu lalu. Namun, rundingan masih belum berjaya diselesaikan sehingga skuad berangkat tanpa Gyokeres.

Presiden Sporting, Frederico Varandas, turut memberi amaran keras kepada Arsenal minggu lalu agar tidak menggunakan taktik tekanan untuk memaksa perpindahan berlaku.

“Jika ada pihak yang merasakan strategi ini mampu memberi tekanan kepada saya untuk memudahkan urusan pemergian pemain, mereka bukan sahaja silap besar, malah menjadikan syarat perpindahan lebih rumit,” katanya.

Dengan masa semakin suntuk dan jurang tawaran yang belum dapat dirapatkan, risiko perpindahan Gyokeres ke Emirates kini dilihat semakin tipis.-Agensi, HMetro Online- 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here