Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan negeri telah merangka perancangan strategik untuk melaksanakan pembangunan di sekitar jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) khususnya dalam sektor perkilangan dan pembuatan yang berpotensi melonjakkan ekonomi negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata perancangan utama adalah pembangunan berasaskan Cargo Oriented Development (COD) di Stesen Pasir Puteh.
“Kita melihat projek itu mampu menarik bukan sahaja pelaburan swasta dan luar negara, malah akan menjana rantaian ekonomi hiliran seperti perkhidmatan pengangkutan, pembungkusan serta pembekalan bahan mentah.
“Selain itu, pembangunan berasaskan Transit Oriented Development (TOD) di Stesen Tunjong, Kota Bharu pula dilihat dilihat boleh menghidupkan Tunjong sebagai perbandaran baharu serta mewujudkan ekosistem ekonomi yang seimbang antara mobiliti rakyat, peluang pekerjaan dan kualiti hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) mengenai usaha kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan di sekitar projek keretapi laju ECRL pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 dan perkhidmatan tren bagi laluan Kota Bharu ke Gombak, Selangor dapat beroperasi menjelang Januari 2027.
Dalam perkembangan sama, cadangan untuk menyambung projek ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Pasir Mas masih diperingkat kajian oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kementerian Pengangkutan.
Beliau berkata, cadangan ini dilihat lebih signifikan sebagaimana dipersetujui antara kerajaan Malaysia-Thailand untuk menyambung semula rangkaian kereta api antara kedua-dua negara.
“Ia juga dapat menghidupkan semula laluan kereta api sedia ada antara Pasir Mas dan Sungai Golok di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Kerajaan Kelantan pada ketika ini mencadangkan supaya jajaran ECRL diteruskan hingga ke Rantau Panjang dan bukan lagi ke jajaran asal di Tumpat.
“Bagaimanapun, ianya masih diperingkat kajian oleh pihak MRL dan Kementerian Pengangkutan bagi menyambung laluan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Pasir Mas,” katanya.
IMedikel TV






