SHAH ALAM: Penyanyi popular, Shila Amzah, 35, menafikan tuduhan segelintir netizen yang mendakwa dia menyara suaminya, Ubai MZ atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 27 kerana lelaki itu tidak bekerja.
Memetik laporan Harian Metro, Shila berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana ia hanya dakwaan segelintir pihak tanpa mengetahui hal sebenar.
“Semua tu tak berasas langsung. Kalau betul, tak mungkin saya bahagia seperti sekarang. Tak perlu pergi jauh, tengok saja gambar-gambar saya dalam media sosial dari tahun 2023 ke atas dan bandingkan dengan sekarang.
“Saya lebih ceria dan bahagia. Biar gambar yang menjawab segala-galanya,” katanya.
Shila berkata, Ubai kerap menjadi pelindungnya dan tidak pernah melepaskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Dia bertanggungjawab dan melindungi saya dan perkahwinan kami. Kalau boleh, dia tak mahu langsung perkara-perkara tak elok berlaku, apatah lagi anak-anak kami pun dah besar,” katanya.
Shila berkata, walaupun Ubai lapan tahun lebih muda daripadanya, tetapi suaminya itu sangat matang.
Sebelum ini, Ubai dikecam di TikTok yang mendakwa dia tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan Shila.
Ubai kemudian tampil membela diri dan memuat naik beberapa komen netizen termasuk menyelar tindakan individu terbabit yang disifatkan fitnah dan melampaui batas itu.
Ubai dan Shila berkahwin pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira.
Shila juga mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan pertamanya dengan Haris Edraki.-HMetro Online-
IMedikel TV






