HANOI: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rakyat Hanoi, Vietnam, pada 8 Julai lalu selepas membunuh empat ahli keluarganya dengan alasan mahu membebaskan mereka daripada kemiskinan.
Menurut Viet Nam News, tertuduh, Vu Van Vuong, 52, didapati bersalah membunuh anak perempuan, anak lelaki, isteri dan ibu kandungnya yang uzur di rumah keluarga itu di bekas daerah Phu Xuyen, Hanoi, pada pertengahan Januari lalu.
Menurut keterangan di mahkamah, Vuong mencekik anak perempuannya berusia 19 tahun dan menyembunyikan mayat mangsa di bawah katil pada pagi 15 Januari lalu.
Pada petang hari sama, dia turut mencekik anak lelakinya yang berusia 17 tahun, dan di sebelah malam.
Isterinya pula menjadi mangsa ketiga kira-kira 11 malam dan dia menyembunyikan wanita itu bersama mayat anak-anaknya.
Perbuatan membunuh itu diteruskan pada awal pagi keesokannya, selepas Vuong mencekik ibunya berusia 79 tahun yang ketika itu terlantar sakit dan tidak berdaya.
Selepas membunuh kesemua mangsa, dia menulis sepucuk surat dan cuba membunuh diri dengan mengambil pil tidur dalam jumlah berlebihan, namun gagal.
Susulan itu, Vuong kemudian melarikan diri dari Hanoi menaiki bas ke Danang dan seterusnya ke bandar Vung Tau.
Vuong akhirnya ditahan pada 18 Januari ketika berada di Pagoda Lien Tri untuk mengadakan upacara keagamaan demi memperingati mangsa.
Sementara itu, polis berkata, ketika ditahan, Vuong menunjukkan tanda kemurungan serius dan tidak stabil dari segi mental, namun disahkan negatif dadah.
Dalam pengakuannya semasa perbicaraan, Vuong mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan berkata, dia melakukan pembunuhan itu kerana mahu ‘membebaskan’ keluarganya daripada kemiskinan.
Pihak pendakwa pula menyifatkan pembunuhan itu sebagai sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan serta berhujah bahawa wajar menerima hukuman paling berat.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Vuong memberitahu dia mahu dihukum mati secepat mungkin kerana mahu ‘membebaskan dirinya’. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






