LONDON: Manchester United diberitahu bahawa mereka telah melakukan salah satu kesilapan terbesar dalam dunia bola sepak apabila membenarkan Scott McTominay meninggalkan Old Trafford.
United menjual McTominay kepada kelab Itali, Napoli, musim panas lalu dalam satu perjanjian bernilai £27.5 juta (RM158 juta).
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, sejak menyertai juara Serie A itu, McTominay mencetuskan fenomena yang luar biasa apabila serta-merta menjadi kegemaran penyokong selepas membantu Napoli menjuarai liga dalam musim pertamanya bersama kelab tersebut.
United membenarkan McTominay pergi bagi membantu mereka mematuhi peraturan kewangan kerana yuran perpindahannya dikira sebagai keuntungan bersih dalam penyata kewangan, memandangkan statusnya sebagai pemain akademi.
Namun begitu, bekas jurulatih United, Benni McCarthy, yang pernah bekerja dengan McTominay di bawah bekas pengurus Erik ten Hag, menyifatkan penjualan pemain berusia 28 tahun itu sebagai satu kesilapan besar, berdasarkan prestasinya yang cemerlang di Napoli.
Menurut McCarthy: “Sudah tentu ada pelbagai sebab mengapa anda menjual pemain tempatan. Apabila mereka pergi, keuntungannya boleh digunakan untuk menandatangani lebih ramai pemain.
“Namun begitu, melepaskannya adalah salah satu kesilapan terbesar dalam bola sepak. Dia dilahirkan untuk bermain dengan United. Mungkin dia bukan yang paling teknikal, tetapi dia mempunyai semangat juang dan saya rasa itulah yang mereka cuba dapatkan semula dengan Matheus Cunha.
“Scotty jenis pemain yang anda perlukan dalam bilik persalinan untuk mencapai kejayaan. Melepaskannya dengan harga yang kecil sesuatu yang amat dikesali. Saya rasa semua orang di kelab menyesali keputusan itu.”
Sementara itu, McCarthy turut mendedahkan bahawa beliau pernah menggesa United untuk menandatangani penyerang Liverpool, Cody Gakpo namun perpindahan itu digagalkan oleh bahagian pencarian bakat kelab.
“Gakpo emain yang paling kami mahukan, tetapi terlepas. Saya rasa dia pemain pertama yang kami bincangkan, dan kami semua bersetuju dia adalah pemain yang sesuai.
“Saya rasa kami hampir sangat dekat untuk mendapatkannya. Pada satu ketika, ia seolah-olah milik kami untuk dimiliki. Ejen beliau mengenali Erik, dan terdapat perbincangan yang sangat positif.” – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






