KOTA BHARU: Perwakilan atau ahli PAS bebas mencalonkan sesiapa sahaja untuk bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan parti yang dijangka September ini.
Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden berkata cadangan itu baru di peringkat pencalonan.
Pencalonan berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Pemilih Pusat untuk dibincangkan.
“Sekiranya cukup pencalonan (yang menyokong), maka Jawatankuasa Pemilih akan menghubungi calon yang dicadangkan itu.
“Mereka (jawatankuasa) akan beritahu kita sekiranya cukup syarat. Jika tidak cukup syarat mereka (jawatankuasa) tidak akan beritahu kita,” katanya dihubungi di sini.
Ditanya sama ada beliau menerima pencalonan itu, Mohd Amar berkata, beliau perlu tunggu surat daripada Jawatankuasa Pemilih Pusat.
Terdahulu media melaporkan Mohd Amar menerima pencalonan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam muktamar parti itu akan datang.
Pencalonan itu dikemukakan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-53, baru-baru ini.
Cadangan itu dibawa oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri, dan disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan dewan pemuda kawasan berkenaan. – BH Online –
IMedikel TV






