LIVERPOOL: Florian Wirtz sah menjadi milik Liverpool secara rasmi selepas menyelesaikan perpindahan blockbuster dari Bayer Leverkusen yang bukan saja memecah rekod kelab tetapi juga mungkin menjadi perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak Britain.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, walaupun jumlah rasmi tidak diumumkan, laporan media di England mendakwa The Reds akan membayar £100 juta (RM600 juta) sebagai bayaran asas, dengan tambahan £16 juta (RM96 juta) lagi bergantung kepada prestasi, menjadikan jumlah keseluruhan £116 juta (RM696 juta).
Namun media Jerman pula menyebut jumlah sebenar boleh mencecah €150 juta (RM790 juta), sekali gus menjadikan Wirtz sebagai pemain termahal pernah dibeli kelab Liga Perdana Inggeris.
Bintang muda Jerman itu yang baru berusia 22 tahun, tampil penuh yakin ketika diperkenalkan kepada penyokong Liverpool.
“Liverpool menang liga musim lalu, jadi sudah tentu saya mahu bantu mereka menang lagi dan pergi lebih jauh dalam Liga Juara-Juara. Saya seorang yang sangat berambisi.
“Saya mahu menang semua, setiap musim!” katanya dalam satu temubual bersama laman rasmi kelab.
Wirtz memainkan peranan penting dalam musim bersejarah Leverkusen 2023/24, membantu mereka muncul juara Bundesliga dan Piala Jerman tanpa tewas dalam satu perlawanan pun. Satu-satunya kekalahan adalah di pentas akhir Liga Europa menentang Atalanta.
Musim lalu, Bayern Munich kembali menjuarai liga, dan Leverkusen sekadar di tempat kedua sekaligus menjadi titik tolak kepada penghijrahan ramai pemain utama termasuk Wirtz dan Jeremie Frimpong, yang turut menyertai Liverpool lebih awal.
“Saya mahu cabaran baru. Pindah ke Premier League adalah satu langkah besar dalam karier saya. Saya mahu keluar dari zon selesa di Bundesliga,” katanya.
Dalam 197 penampilan bersama Leverkusen, Wirtz mencatatkan 57 gol dan 65 bantuan jaringan, menjadikan dia sebagai salah seorang pemain paling berbakat di Eropah. Gaya permainannya yang kreatif dan licik jelas menambat hati pengendali Liverpool, Arne Slot.
Slot sebelum ini tidak terlalu aktif dalam pasaran perpindahan musim pertamanya, tetapi kini mula membina skuad impian dengan membawa masuk pemain berprofil tinggi.
Selain Wirtz, Liverpool juga hampir melengkapkan pembelian pertahanan kiri Bournemouth, Milos Kerkez, dengan harga sekitar £40 juta (RM240 juta). Mereka turut dikaitkan dengan penyerang Newcastle, Alexander Isak dan tonggak pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi.
Kehadiran Wirtz dijangka memberi tekanan besar kepada barisan sedia ada seperti Diogo Jota, Darwin Nunez dan Federico Chiesa sekali gus menimbulkan spekulasi ada antara mereka bakal dijual untuk memberi ruang dari segi kewangan dan kesebelasan utama.
“Orang kata saya pemain kreatif, jadi saya harap saya dapat bawa kreativiti itu ke sini. Saya mahu cipta gol, bantu rakan sepasukan dan bantu pasukan jadi lebih baik,” kata Wirtz, yang mampu beraksi di pelbagai posisi serangan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






