TUNIS: Sebuah mahkamah di Tunisia semalam menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun ke atas bekas Presiden Moncef Marzouki, yang lantang mengkritik Presiden Kais Saied, atas pertuduhan menggugat keselamatan negara.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, keadaan ini meningkatkan kebimbangan pembangkang terhadap tindakan keras yang semakin memuncak terhadap pengkritik kerajaan.
Marzouki, yang memegang jawatan Presiden dari 2011 hingga 2014, menuduh Saied menubuhkan rejim autoritarian selepas membubarkan Parlimen dan memerintah melalui dekri sejak beliau merampas hampir semua kuasa pada 2021.
Saied mempertahankan tindakannya sebagai langkah perlu untuk menstabilkan Tunisia.Ini adalah hukuman ketiga terhadap Marzouki, selepas mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat tahun dalam beberapa kes berasingan.
Mengulas keputusan itu ketika dalam buangan di Paris, Marzouki berkata: “Saya ingin menyampaikan kepada hakim ini: Keputusan kamu tidak sah, dan kamu sendiri tidak sah… kamu akan diadili tidak lama lagi.”
“Demokrasi akan kembali,” tambahnya.
Terdahulu pada Jumaat, sebuah lagi mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Sahbi Atig, pegawai kanan parti pembangkang utama, Ennahda, atas tuduhan pengubahan wang haram, menurut peguamnya.
Hukuman 15 tahun itu lebih ringan berbanding beberapa hukuman berat yang dijatuhkan baru-baru ini.
Pada April lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga 66 tahun terhadap beberapa pemimpin pembangkang, ahli perniagaan dan peguam atas tuduhan berkonspirasi.
Kebanyakan pemimpin parti politik di Tunisia kini berada dalam tahanan, termasuk Ketua Parti Perlembagaan Bebas, Abir Moussi dan ketua Ennahda, Rached Ghannouchi, – dua penentang paling lantang terhadap Presiden Saied. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






