Home Sukan PEMAIN AUCKLAND CITY AMBIL CUTI TAHUNAN BERAKSI DI PIALA DUNIA KELAB

PEMAIN AUCKLAND CITY AMBIL CUTI TAHUNAN BERAKSI DI PIALA DUNIA KELAB

476
0

MIAMI, Amerika Syarikat: Pemain Auckland City bukanlah profesional sepenuh masa dan ramai dalam kalangan mereka terpaksa mengambil cuti tahunan untuk menyertai Piala Dunia Kelab yang berwajah baharu bermula Ahad ini.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, juara New Zealand itu yang baru sahaja menjuarai Liga Juara-Juara OFC, akan bertemu Bayern Munich, Benfica dan Boca Juniors dalam Kumpulan C dengan jurulatih Paul Posa mengakui betapa sukarnya cabaran yang menanti.

“Ia mungkin kumpulan paling sukar,” kata Posa yang pernah membimbing mereka ke tempat kelima dalam edisi lama Piala Dunia Kelab pada 2009, kepada Reuters.

“Kami berdepan dua kuasa besar Eropah iaitu Bayern Munich dan Benfica, serta Boca Juniors yang juga berpotensi untuk menjuarai kejohanan ini.”

“Kami menyertai banyak edisi sebelum ini dalam kejohanan Piala Dunia Kelab yang lama sekali gus memberikan pengalaman luas dan membolehkan kami beraksi melebihi jangkaan sebelum ini. Matlamat kami kini untuk bersedia dan beraksi sebaik mungkin,” tambahnya.

Auckland menyertai kejohanan 32 pasukan ini selepas merangkul gelaran Oceania ke-13 mereka dan keempat berturut-turut.

Namun, walaupun berjaya di peringkat benua, bola sepak tetap merupakan komitmen separuh masa buat skuad ini.

“Kesemua pemain mempunyai pekerjaan lain di samping komitmen bola sepak mereka,” jelas Posa.

“Namun, mereka menunjukkan dedikasi luar biasa terhadap bola sepak di luar waktu kerja mereka.”

“Pemain-pemain terpaksa mengambil cuti tahunan daripada pekerjaan mereka… Malah ada antara mereka yang tidak dapat menghadiri kedua-dua kejohanan, Liga Juara-Juara OFC dan juga Piala Dunia Kelab.”

Tarikh kejohanan yang berlangsung dari pertengahan Jun hingga pertengahan Julai menjadikan ia berlaku di tengah-tengah musim Auckland, berbeza dengan versi terdahulu yang berlangsung selepas musim berakhir.

“Cabaran apabila Piala Dunia Kelab berlangsung di pertengahan musim adalah untuk memastikan pemain berada pada tahap terbaik dan pada waktu yang tepat, namun saya percaya kami berada di landasan yang betul,” kata Posa.

Menjalankan tugas sebagai jurulatih sementara menggantikan Albert Riera yang bercuti atas urusan keluarga, Posa sebelum ini menguruskan Auckland dari tahun 2008 hingga 2010.

Dalam Piala Dunia Kelab 2009, mereka menewaskan Shabab Al Ahli dari UAE dan TP Mazembe dari DR Congo untuk meraih tempat kelima.

Jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui betapa sukarnya untuk mengulangi kejayaan 2009.

“Memang indah untuk berangan, kami boleh menjadi kompetitif seperti dahulu tetapi kami realistik terhadap cabaran kali ini.”

Walaupun bersifat sementara, Posa tetap mengekalkan gaya permainan tradisional Auckland.

“Tidak sukar untuk mengekalkan falsafah permainan yang telah berkembang di Auckland City selama bertahun-tahun. Sudah tentu, setiap jurulatih meletakkan sentuhan peribadi mereka pada pasukan,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here