KUALA LUMPUR: Hebat sungguh penangan KRU apabila Konsert GenKru anjuran Icon Entertainment ditambah lagi ke hari keempat pada 11 Mei ini, jam 8.30 malam di lokasi sama iaitu Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.
Memetik laporan Harian Metro, pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, permintaan luar biasa peminat KRU meminta penganjur mengadakan konsert hari keempat satu pencapaian sangat membanggakan.
“Icon Entertainment ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat KRU kerana membeli tiket konsert GenKRU hari pertama dan kedua yang habis dijual dalam tempoh kurang satu jam!
“Tiket hari ketiga pada 10 Mei juga secara rasmi sudah ‘sold out’ (habis dijual). Kami amat terharu dengan sambutan ini. Ia adalah tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat ikon trio negara kita.
“Saya mewakili Icon Entertainment dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless’ (hilang kata-kata) sekali gus mengumumkan penganjuran hari keempat Konsert GenKRU,” katanya.
Sebelum ini, Iman pernah mengakui menjadi tanggungjawab mereka memastikan semua penyokong yang berjuang mendapatkan tiket dapat mencipta lagi detik manis bersama KRU.
“Buat mereka yang gagal mendapatkan tiket untuk tiga hari sebelum ini, kami mahu mereka sama-sama merasai kepuasan pada hari konsert terakhir ini nanti,” katanya.
Sementara itu, Norman berkata, keputusan menambah tarikh dan menjadikan konsert itu berlangsung empat malam adalah sebagai hadiah dari Icon Entertainment dan KRU sendiri.
“Melihatkan Isnin iaitu 12 Mei adalah cuti sempena Hari Wesak, kami yakin terhadap kesesuaian konsert hari keempat direalisasikan.
“Keputusan segera ini dibuat lantaran kedua-dua pihak menerima banyak DM (mesej langsung) yang meminta kami menambah sehari lagi konsert pada Ahad, 11 Mei.
“Selepas menimbang tara banyak aspek, kami teruskan hajat ini malah ramai peminat yang mahu menonton lagi kerana tidak puas dengan detik tempoh hari,” katanya.– HMetro Online –
IMedikel TV






