Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Lobak merah (carrot) terkenal sebagai makanan yang baik untuk kesihatan mata, termasuk bagi individu yang mengalami masalah silau (photophobia).
Pelbagai jenis vitamin dan nutrien terdapat dalam lobak merah, seperti vitamin C, E dan A.
Kebaikan nutrien itu adalah sebab mengapa anda perlu makan lebih banyak lobak, kerana ia dapat membantu mengurangkan masalah penglihatan pada mata.
Sekiranya tidak gemar makan lobak merah secara mentah, anda boleh juga menjadikan ia sebagai jus lobak merah dengan campuran lemak sihat seperti minyak zaitun untuk penyerapan maksimum vitamin A larut lemak.
Khasiat lobak merah untuk kesihatan mata, khususnya silau:
1. Kaya dengan Beta-Karoten (Vitamin A)
Lobak merah mengandungi beta-karoten, sejenis antioksidan yang ditukar kepada vitamin A dalam tubuh.
Vitamin A penting untuk fungsi retina, terutamanya dalam keadaan cahaya malap ia boleh membantu penglihatan malam dan mengurangkan masalah silau.
2. Melindungi mata daripada kerosakan cahaya.
Beta-karoten juga melindungi sel mata daripada kerosakan akibat sinar UV dan cahaya terang. Ini membantu mengurangkan kepekaan mata terhadap cahaya terang (photophobia).
3. Menyokong kesihatan retina dan kornea
Vitamin A membantu mengekalkan kornea yang sihat, iaitu lapisan luar mata yang jernih. Ia juga penting untuk menghasilkan pigmen dalam retina yang membolehkan penglihatan normal.
4. Mengandungi lutein
Lobak merah juga mempunyai lutein yang boleh menyokong kesihatan makula.
IMedikel TV






