Home Buletin Semasa KKM KOMITED KAWAL PRODUK MEROKOK

KKM KOMITED KAWAL PRODUK MEROKOK

Oleh:Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan komitmen berterusan untuk mengawalselia secara menyeluruh semua produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) demi menjaga kemaslahatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan kerajaan adalah berlandaskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang merupakan undang-undang tersendiri (stand-alone act) bagi memastikan pengawalseliaan rapi terhadap keseluruhan rantaian produk merokok.

“Akta ini mengawal segala aspek berkaitan produk merokok termasuk pendaftaran produk, penjualan, kandungan konsentrasi nikotin, pengiklanan, serta larangan penjualankepada individu bawah umur malah, paparan produk (display) di premis juga dikawal ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Perasmian Program Madani Afiat peringkat negeri Kelantan 2025 di Mydin Mall Tunjong, di sini.

Katanya, selari dengan prinsip Malaysia MADANI, pihaknya tidak membenarkan penjualan produk itu kepada masyarakat yang belum dewasa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting dengan tidakmeluluskan lesen premis kepada pengusaha yang ingin menjual produk vape.

“Dengan kata lain tanpa lesen premis daripada PBT, penjualan tidak boleh dijalankan secara sah.

“Inilah pentingnya kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri,” jelas beliau.

Beliau turut menyambut baik usaha Kerajaan negeri yang tidak mengizinkan PBT mereka memberikan lesen kepada premis yang ingin menjual vape.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyokong langkah Terengganu dan Perlis melarang penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut amat dialu-alukan, selaras dengan usaha KKM mewujudkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang meliputi peraturan berkaitan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, serta larangan merokok di tempat awam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here