Home Buletin Semasa PELAJAR MISKIN CEMERLANG B40 MRSM SYUKUR DITAWARKAN MARA SAMBUNG BELAJAR LUAR NEGARA

PELAJAR MISKIN CEMERLANG B40 MRSM SYUKUR DITAWARKAN MARA SAMBUNG BELAJAR LUAR NEGARA

Oleh: Afrizam Arif@Wartawan Imedikel TV

TANAH MERAH: Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, bersyukur dan berterima kasih dengan penawaran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pengajian ke luar negara.

Tawaran itu sekali gus mencapai impian danm minat mendalamnya terhadap bidang Fizik Kuantum.

“Saya bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Fizik Kuantum di Jepun dan kesedaran tercetus setelah saya membuat bacaan serta kajian berkaitan dan keputusan SPM diumum semalam adalah hadiah buat keluarga angkat yang banyak berkorban menjaga saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Perumahan Kusial Baru, di sini, semalam.

Puteri Nur Ain Zulaikha berkata sejak dilahirkan sehingga kini dijaga oleh empat keluarga angkat dan pada ketika ini tinggal bersama abang angkatnya, Mohamad Airul Roslan, 35 dan isteri, Nur Fatihah Saad, 26, yang bekerja sebagai penjual ikan untuk menyara keluarga.

“Sebelum ini, saya tinggal bersama bapa angkat dan selepas dia meninggal dunia, saya dijaga pula oleh nenek angkat, kemudian dua tahun selepas itu nenek pula meninggal dunia.

“Saya kemudiannya dijaga oleh bapa saudara selama beberapa tahun sebelum hak penjagaan diambil alih oleh abang angkat memandangkan pada ketika itu bapa saudara mempunyai ramai tanggungan, selain isterinya menghidap penyakit lumpuh,” katanya.

Terdahulu Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar berkenaan yang memperoleh 9A ditawarkan pengajian tinggi dalam dan luar negara berikutan kisah hidupnya yang tinggal bersama keluarga angkat sejak bayi.

“Pelajar ini adalah salah seorang penerima Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) semasa di MRSM Pengkalan Chepa.

“Kita juga menyediakan tajaan luar negara MARA di bawah program Young Talent Development (YTP) untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dihantar ke luar dan dalam negara,” katanya ketika perbualan 30 minit di talian bersama Puteri Nur Ain Zulikha yang turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Tanah Merah Datuk Rakemi Wan Zahari.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pembangunan MARA Kelantan, Mohd Norwawi Ibrahim dan wakil guru MRSM Pengkalan Chepa.

Asyraf Wajdi berkata pelajar dan penjaga berkenaan juga turut akan mendapat tajaan penerbangan daripada UMNO Tanah Merah bagi menghadiri Majlis Himpunan Pelajar Tajaan BUDI yang memperoleh keseluruhan A SPM 2024 yang dijangka berlangsung dua minggu lagi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata begi kes Puteri Nur Ain Zulaikha tersebut, dia ditawarkan pembiayaan penuh perbelanjaan menyambung pelajaran peringkat seterusnya termasuk di luar negara.

“Saya melihat semangat dan potensi besar yang ada pada Ain, justeru dengan keputusan cemerlang yang diperoleh, Mara sedia membantu merealisasikan impiannya,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here