Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Glaukoma merupakan penyebab kedua utama kebutaan pada peringkat global, namun hampir segelintir pesakit itu tidak sedar mereka menghidap penyakit itu.
Penyakit tersebut mungkin kurang popular dalam kalangan masyarakat kerana pelbagai masalah penglihatan hanya dikaitkan dengan rabun semata.
Sebaliknya, kita perlu tahu kesan penyakit itu, kerana ia dianggap “pencuri senyap penglihatan” yang boleh menyebabkan kebutaan.
Menurut Pakar Oftalmologi (Glaukoma), Dr Munira Yusoff, glaukoma adalah penyakit saraf optik kronik yang terjadi kerana kerosakan pada saraf mata yang disebabkan oleh tekanan mata yang terlalu tinggi.
“Bola mata kita mempunyai tekanan tertentu yg dihasilkan oleh cecair di dalam mata atau ‘aqueous humor’. Cecair ini dihasilkan oleh “ciliary body” iaitu satu struktur di belakang mata hitam atau iris. Cecair ini juga berfungsi untuk memberi nutrien dalam mata kita. Selepas berada beberapa ketika di dalam ruangan mata hitam, cecair ini akan mengalir keluar ke saluran darah di mata putih (conjunctiva).
“Bagi penghidap glaukoma, sistem pengaliran keluar cecair ini yang terganggu dan menyebabkan pengumpulan aqueous di dalam mata sekali gus meningkatkan tekanan mata yang akhirnya menjejaskan saraf mata yang berfungsi sebagai komunikasi antara mata dan bahagian otak untuk penglihatan,” katanya ketika ditemui ketika sambutan Minggu Glaukoma Sedunia, di Kompleks Belia dan Sukan, baru-baru ini.
Beliau berkata, tekanan mata normal adalah antara 10 hingga 21mmHg, tetapi jika mencecah lebih daripada julat normal tersebut, ia sudah cenderung kepada kerosakan saraf mata.
Katanya, secara amnya glaukoma terbahagi kepada dua jenis iaitu glaukoma sudut terbuka dan tertutup
“Glaukoma sudut terbuka adalah keadaan di mana sudut antara iris dan kornea tempat pengaliran keluar cecair aqueous di dalam mata adalah terbuka tetapi sel-sel yang melapisinya adalah tidak normal. Ia menyebabkan tekanan dalam mata meningkat secara
perlahan-lahan tanpa pesakit merasai sebarang simptom di peringkat awal.
“Dalam glaukoma sudut tertutup pula, sudut tersebut menjadi terlalu sempit atau tertutup sepenuhnya, menyebabkan sedikit sahaja cecair yang boleh mengalir keluar atau tidak dapat mengalir keluar langsung, menyebabkan tekanan dalam mata naik secara tiba-tiba,” katanya.
Menurutnya, mereka yang menghidap glaukoma sudut tertutup lebih mudah dikesan kerana mempunyai simptom seperti mata kemerahan dan sakit, yang dalam keadaan teruk boleh disertai dengan sakit kepala dan loya atau muntah. Ini disebabkan oleh tekanan mata yang naik terlalu tinggi.
Manakala bagi penghidap glaukoma sudut terbuka, biasanya mereka tidak mengalami sebarang tanda di peringkat awal. Oleh sebab itu jika seseorang individu itu mempunyai faktor risiko seperti mempunyai sejarah keluarga, sering menggunakan ubat steroid, rabun yang tinggi dan mempunyai penyakit kencing manis atau darah tinggi, mereka perlu segera membuat saringan awal.
“Banyak penyakit sebenarnya yang memerlukan rawatan ubat steroid dan kebanyakan pesakit yang menggunakannya tidak sedar akan kesan jangka panjang ubat tersebut.
“Contohnya penyakit seperti asma atau penyakit-penyakit inflamasi lain di dalam badan juga kerap dirawat menggunakan steroid untuk mengurangkan inflamasi ,” katanya.
Jelas beliau, individu yang berusia lebih 60 tahun juga berisiko mengalami masalah glaukoma.
Tambahnya, bagi rawatan untuk penyakit glaukoma , rawatan awal adalah dengan ubat titis mata untuk menurunkan tekanan mata. Ia bergantung kepada setinggi mana tekanan mata pesakit itu.
Namun, jika tekanan mata pesakit terlalu tinggi, contohnya mencecah lebih dari 40mmHg, kemungkinan ubat titis sahaja tidak mencukupi.
“Dalam situasi seperti ini pesakit akan diberikan ubat oral yang boleh menurunkan tekanan mata dengan cepat. Walau bagaimana pun ubat ini tidak boleh diberikan untuk jangka masa yang lama kerana ia boleh memberi kesan kepada buah pinggang pesakit,” katanya.
Selain itu, katanya, jika penyakit glaukoma tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan sahaja atau penyakit glaukoma pesakit menjadi semakin teruk, pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan. Dua jenis pembedahan yang boleh dilakukan adalah membuat laluan alternatif untuk aqueous mengalir keluar, atau memasang implan yang berupa tiub yang juga berfungsi untuk mengalirkan cecair keluar dari mata hitam.
Tambah beliau, kerosakan saraf mata yang sudah berlaku tidak dapat dipulihkan semula. Rawatan adalah untuk menjaga mata yang masih berfungsi. Oleh itu, jika pesakit datang dengan penglihatan yang sudah hilang pada sebelah mata, rawatan akan diberikan untuk kedua-dua mata, tetapi akan lebih tertumpu kepada mata yang masih berfungsi untuk mengelakkan ia juga dari menjadi semakin teruk.
IMedikel TV






