Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Isu kemarahan yang melampau boleh menimbulkan rasa tidak senang hati oleh pelbagai pihak.
Terdapat ramai dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya tidak dapat menahan sabar sehingga api kemarahan sukar untuk dipadam.
Public Health Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan insiden individu Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dipukul oleh orang awam.
Dalam kenyataan itu di Facebook, mereka menegaskan bahawa isu tersebut berpunca daripada kegagalan menguruskan emosi marah dengan bijak.
“Marah itu api – jika tidak dikawal, ia boleh membakar nilai kemanusiaan dalam diri kita.”
Kenyataan tersebut menggesa masyarakat agar tidak menjadikan kemarahan sebagai alasan untuk bertindak ganas.
Dalam banyak kes, individu yang bertindak agresif terhadap OKU atau mereka yang kelihatan ‘berkelakuan pelik’ sebenarnya gagal mengenal pasti bahawa mangsa mereka berada dalam keadaan tertekan, cemas atau tidak stabil secara mental.
Sebaliknya, emosi marah mendorong kepada tindakan fizikal yang melanggar undang-undang dan moral.
Public Health Malaysia menegaskan, mereka yang mengalami gangguan mental tidak perlu dihukum, tetapi dibantu. Kekerasan terhadap golongan ini bukan sahaja menyakitkan secara fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam.
Masyarakat diseru agar menukar kemarahan kepada empati, dan tindakan agresif kepada bantuan yang berperikemanusiaan.
Jika anda berdepan situasi yang mencabar emosi, tarik nafas, fikir dahulu sebelum bertindak. Hubungi pihak berkuasa untuk membantu. Jadilah penyelamat, bukan pendera.
Dalam dunia serba mencabar ini, kemarahan adalah cabaran peribadi, tetapi bagaimana kita mengendalikannya mencerminkan siapa kita sebagai manusia.
IMedikel TV






