Home Buletin Semasa PENJAWAT AWAM DISERU TURUN PADANG, DENGAR SUARA RAKYAT

PENJAWAT AWAM DISERU TURUN PADANG, DENGAR SUARA RAKYAT

249
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Penjawat awam diseru agar tidak hanya berada di pejabat semata-mata, sebaliknya perlu turun padang bagi mendengar keluhan dan memahami realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, langkah ini penting bagi memastikan seluruh rakyat dapat merasai kemakmuran yang dikecapi negara secara menyeluruh.

“Ini seiring dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan keutamaan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi saya mengingatkan supaya penjawat awam jangan hanya duduk di pejabat, tetapi perlu turun ke kampung-kampung mendengar isu yang dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Kampung Telaga Ara, Gunong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa program Tautan Perdana dianjurkan bagi memberi ruang kepada penjawat awam memahami keluhan rakyat sebelum mengambil langkah menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Katanya setiap ketua jabatan diberikan amanat mengubah kampung pilihan dan membantu menambah baik aspek infrastruktur serta sahsiah penduduk setempat.

“Kita tidak diberikan peruntukan khusus untuk menaik taraf kemudahan yang ada.

“Tetapi itu tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk kita turun padang dan membantu masyarakat,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here